PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan RM2.8 bilion bagi projek baik pulih dan menaik taraf perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang kerap mengalami gangguan sejak setahun lalu.
Faktor utama gangguan tersebut disebabkan sistem pengangkutan awam itu sudah ‘tua’ iaitu 24 tahun.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya merangka tiga perancangan bagi tempoh lima tahun untuk menstabilkan sistem pengangkutan awam tersebut iaitu menambah baik sistem kawalan tren automatik (ATC), menambah 27 buah lagi tren dan menambah baik kemudahan fasiliti di semua stesen LRT.
“Semua penambahbaikan tersebut sepatutnya telah dilakukan dua atau tiga tahun lalu kerana Laluan Kelana Jaya sudah berusia dan menjadi keperluan utama pengangkutan awam Lembah Klang di ibu negara,” kata beliau.
Sejak mengetuai Prasarana pada 15 Julai 2021, pembaikan sistem ATC antara keutamaan Mohd. Azharuddin kerana bukan sahaja mahu memberi keselesaan kepada orang ramai tetapi menjamin keselamatan agar insiden kemalangan pada 24 Mei tahun lalu tidak berulang.
“Sistem ATC memang perancangan paling penting kami setelah mendapat persetujuan lembaga pengarah yang membabitkan dua fasa. Fasa satu dengan menelan kos RM150 juta dan kedua pula menelan RM210 juta yang masih dalam kajian.
“Dengan penukaran ATC, ia dapat memastikan sistem ini stabil dan ini sangat penting,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jana pada bulan lepas mengalami gangguan operasi untuk beberapa hari akibat masalah ATC sebelum perkara itu berjaya dibaiki oleh pakar teknikal Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dan pihak OEM Thales Group.
Selain itu, kata beliau, Prasarana juga mahu menambah sebanyak 27 lagi tren dengan lapan daripadanya sudah diterima manakala bakinya dijangka tiba secara berperingkat bermula Julai tahun depan sehingga Disember 2024.
“Hala tuju perkhidmatan Laluan Kelana Jaya untuk masa depan sangat penting. Oleh itu, saya menekankan bahawa Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi sejak 1998 perlu ada tiga perkara iaitu penambahbaikan sistem dan komunikasi, tren dan penyelenggaraan insfrastrutur yang sepatutnya dilakukan dua hingga tiga tahun lalu kerana sudah lama, sudah tiba untuk tambah baik.
“Penambahan sebanyak 27 tren lagi itu dilakukan secara berperingkat yang kesemuanya bernilai RM1.7 bilion.
“Prasarana juga sedang menyelenggara 35 set sedia ada khususnya set tren yang sudah berusia lebih 14 tahun dengan membabitkan kos RM800 juta,” kata beliau.
Menurut Azharuddin, perkara itu amat penting untuk mencapai frekuensi dan kekerapan tren kepada tiga minit.
“Tren laluan Kelana Jaya amat sibuk terutama waktu puncak. Maka kajian sedang dilakukan bagi memenuhi keperluan menjelang tahun 2030.
“Perancangan terakhir kami adalah memperbaiki infrastruktur di semua stesen di bawah pengendalian Prasarana misalnya masalah lif dan eskalator yang sering dapat banyak komen sosial dan ini dijangka selesai pada Disember ini. Selain itu, masalah lampu dan kebocoran sedang ditangani pihak kami,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azharuddin berkata, pihaknya bercadang memperkenalkan sistem sensor yang berfungsi mengumpul data pergerakan tren sekali gus dapat memberi jangkaan kepada Prasarana terhadap kerosakan bakal dialami.
“Dengan data ini dapat mengurangkan gangguan tren. Ini langkah baharu dan penting untuk membuat penyelenggaran lebih awal berbanding kita lakukannya ketika kerosakan. Seperti cara sebelum ini, kita buat penyelenggaran ikut masa, tetapi cara ini ada kekangan iaitu apabila ada masalah, baru kita baiki,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, dalam melaksanakan langkah baharu itu, ia memerlukan bakat baharu khususnya dalam jurutera Prasarana dengan latihan supaya mekanisme pembaharuan tersebut dapat mengelakkan isu gangguan tren.
Beliau dalam pada itu, memohon maaf di atas kejadian gangguan LRT yang berlaku sejak kebelakangan ini dan pihaknya sentiasa memastikan aspek keselamatan pengguna di samping memberi jaminan soal keselesaan termasuk pelan sokongan supaya mereka sampai ke destinasi masing-masing. – UTUSAN











