[Rasmi] PN menang majoriti 16,260 undi di Padang Serai - Utusan Malaysia

[Rasmi] PN menang majoriti 16,260 undi di Padang Serai

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua kanan) bersama Shahidan Kassim (dua kiri) dan pimpinan PN lain menjulang tangan Azman Nasrudin yang diumumkan menang di Parlimen Padang Serai di Kulim. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kerusi Parlimen Padang Serai yang disandang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal berjaya dirampas Perikatan Nasional (PN) sekali gus menjadikan 14 kerusi Parlimen dikuasai PN di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim masing-masing turut mendapat 2,983 dan 149 undi.

Sementara itu, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.

Sebelum ini, Sivaraj dan Mohd. Bakhri mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah pada pukul 10.50 malam ini di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.

Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu antaranya Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta pimpinan gabungan itu.

Peratusan keluar mengundi selepas kesemua 46 pusat pengundian ditutup pada 6 petang tadi adalah 68.9 peratus daripada 132,955 jumlah keseluruhan pemilih yang berdaftar.

Kemenangan PN di Padang Serai itu menyaksikan gabungan itu berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi di seluruh negara pada 19 November lalu kepada 74 kerusi.

PH pula kekal 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon PH, mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 November lalu.

Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon Pas, Muhamad Sobri Osman dan calon BN, Datuk Dr. Leong Yong Kong. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya