Punca PM lewat bentuk Kabinet

Punca PM lewat bentuk Kabinet

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mengecilkan saiz Kabinet namun pada masa sama perlu mengambil kira penyertaan parti-parti dalam kerajaan perpaduan menjadi punca pembentukan Jemaah Menteri berhadapan jalan berliku walaupun hampir dua minggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.

Keperluan untuk memenuhi tuntutan luaran dan dalam daripada pelbagai pihak khususnya melibatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut menyulitkan lagi keadaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam dilema apabila perlu mengotakan janji-janjinya untuk mengurangkan saiz Kabinet tetapi perlu juga mempertimbangkan penyer­taan pelbagai parti kerajaan perpaduan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Kabinet yang boleh dibentuk lebih awal tidak dapat dilakukan kerana perlu mempertimbangkan kedudukan parti-parti yang terlibat dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Justeru katanya, Anwar perlu bijak merintis perbincangan bersama wakil-wakil parti mendukungnya sebagai Perdana Menteri dengan membentuk Ka­binet yang ideal dan sederhana, yang akhirnya dapat memenuhi agenda rakyat.

“Dalam soal ini, ahli-ahli Parlimen yang tidak terpilih dalam Kabinet boleh diletakkan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC supaya agenda dirancang oleh kerajaan pimpinan Anwar dapat dilaksanakan oleh agensi-agensi terlibat.

“Kita faham Perdana Menteri mahu mengurangkan jumlah menteri, tetapi jangan sehingga kecil dan membebankan dengan seharusnya dibuat sederhana dan tidak terlalu banyak seperti mana pernah dilakukan oleh dua pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pengumuman Kabinet dijadualkan semalam namun sehingga kini tiada perkembangan pengumuman Kabinet oleh pihak Pejabat Perdana Menteri.

Pengumuman senarai Kabinet berkemungkinan tidak dapat dilakukan pada minggu ini setelah Perdana Menteri mohon lebih masa sebelum memuktamadkan anggota Jemaah Menteri.

Perkara itu dipercayai setelah Anwar terpaksa mempertimbangkan nama-nama dikemukakan oleh parti-parti yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan termasuk desakan pemimpin tertentu agar ‘Kluster Mahkamah’ tidak dilantik menyertai kerajaan diketuai Anwar

Sepatutnya pengumuman dan istiadat mengangkat sumpah menteri dibuat dalam minggu ini sebelum Yang di-Pertuan Agong berlepas ke luar negara pada hujung minggu ini.

Jika pembentukan Kabinet tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat, ini bermakna Anwar akan mentadbir kerajaan secara sendiri dalam tempoh dua minggu selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Bagaimanapun Perdana Menteri mempunyai jadual padat menerusi lawatan ke Perak pada hari ini antaranya menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan diikuti sesi walkabout dan ramah mesra di Pasar Tanjung Rambutan dan lawatan Tapak Klinik Kesihatan Manjoi dan diakhiri solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh Taman Jati, Ipoh.

Ketika ditanya kelewatan pengumuman Kabinet kononya adalah desakan tertentu agar ‘Kluster Mahkamah’ tidak dilantik sebagai Menteri, Mohamad Faisol menjelaskan, semua pihak perlu mempertimbangkan kestabilan politik daripada segalanya supaya tidak mengulangi krisis politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, semua pihak perlu berlapang dada dan menyerahkan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan nama-nama dikemukakan oleh parti sebagai Menteri atau Timbalan Menteri.

“Itu adalah hak-hak antara Perdana Menteri di dalam melakukan rundingan bersama wakil-wakil parti,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, Anwar kini berdepan cabaran besar kerana terpaksa melihat

permintaan parti menyokongnya sebagai Perdana Menteri sebelum melantik Jemaah Menteri memandangkan kerajaan pada hari ini dibentuk berdasarkan atas faktor kesepakatan.

“Anwar kena ingat beliau menjadi Perdana Menteri disebabkan pengorbanan besar Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak yang sanggup mengetepikan prinsip dan kisah lama untuk menyokong beliau. Jadi beliau kena menerima nama-nama menteri dikemukakan sedangkan Perdana Menteri berkuasa melantik Kabinet dan bukannya presiden parti.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan perasaan tidak puas sekali gus akan menyebabkan tarik sokongan kepada kerajaan perpaduan hari ini,” katanya.

Justeru beliau melihat walaupun membentuk Kabinet merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, tetapi Anwar kena melihat nama-nama dikemukakan oleh setiap parti.

Bagi Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, tugas getir menanti Ahli Parlimen Tambun itu termasuk mewujudkan pasukan Kabinet yang efektif untuk menguruskan negara dan ketidaktentuan serta cabaran ekonomi pada 2023.

“Melantik pasukan Kabinet diyakini merupakan  tugas utama agar barisan Menteri dapat memberi keyakinan sama ada kepada rakyat dan pelabur,” jelasnya.

Beliau menambah, Anwar juga berhadapan tugas besar untuk menyatupadukan rakyat pasca PRU15 di samping meredakan ketegangan politik setelah keputusan Parlimen tergantung.

Selepas seminggu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu, Anwar belum mengumumkan barisan Kabinetnya, dipercayai kerana masih berbincang dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan dan memikirkan keadilan kepada mereka.

Jika mengambil kira situasi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 selepas PRU14, beliau mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir terlebih dahulu mengumumkan tiga jawatan kementerian yang paling kanan dua hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengambil tempoh lebih kurang sama mengumumkan senarai Kabinet pimpinannya iaitu selepas lapan hari dilantik Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 ekoran peletakan jawatan Dr. Mahathir pada 24 Februari 2020.

Tempoh lebih singkat diambil Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membentuk pasukan Kabinet beliau iaitu selama enam hari selepas dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN