Pulau Pinang akan salur bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu - Utusan Malaysia

Pulau Pinang akan salur bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu

CHOW Kon Yeow ketika menyampaikan bantuan kepada para penerima dalam Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Huffaz ke-5 Pulau Pinang 2022, di George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bentuk dan nilai bantuan tersebut belum diputuskan setakat ini.

“Dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu lalu, kita ada berbincang mengenainya, secara prinsip kita bersetuju untuk menyalurkan bantuan tetapi nilai dan bentuk bantuan belum ditetapkan.

“Saya dan pegawai kewangan negeri akan putuskan kesemua perkara tersebut dalam masa terdekat sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Huffaz ke-5 Pulau Pinang 2022, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk.

Selain Kerajaan Pusat, kerajaan negeri seperti Kedah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu Kelantan dan Terengganu yang dilanda bencana banjir ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, tiada sambutan tahun baharu anjuran kerajaan negeri pada malam 31 Disember nanti.

“Kerajaan negeri telah lama tidak menganjurkan sambutan tahun baharu dan untuk kali ini pun, tiada sambutan yang akan dianjurkan kerajaan negeri.

”Kita cuma anjurkan perarakan Cingay yang dijadualkan pada 1 Januari nanti, namun telah ditunda ke tarikh lain.

“Saya tidak pasti jika ada pihak swasta yang akan menganjurkan sambutan tahun baharu secara kecil-kecilan, namun itu saya serahkan kepada mereka untuk putuskan. Di peringkat negeri, memang tidak ada,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan membentuk Jawatankuasa Perundingan seperti di Perak, Kon Yeow berkata, tiada arahan daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan jawatankuasa sedemikian.

“Ia tertakluk kepada negeri itu masing-masing, namun tiada salahnya bagi sesebuah negeri untuk menubuhkan jawatankuasa tentang cara bekerjasama.

“Bagaimanapun, di Pulau Pinang, kita belum membincangkan penubuhan jawatankuasa itu, malah dalam Mesyuarat Exco pun kita belum bincang mengenai kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya