PSG elak ketegangan Messi, Mbappe

PSG elak ketegangan Messi, Mbappe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier berusaha mengelak sebarang ketegangan antara Lionel Messi dan bintang ­Perancis, Kylian Mbappe apabila kedua-dua bintang mereka itu kembali ke pangkuan pasukan.

Kedua-dua pemain mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir Piala Dunia dengan Argentina keluar sebagai pemenang dan Messi berjaya menjulang Piala Dunia pertama dalam kariernya.

Dalam perlawanan akhir, Mbappe menjaringkan empat gol, termasuk penentuan sepakan penalti, tetapi tidak dapat membawa Les Blues untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2018.

Kegagalan Mbappe itu menyaksikan dia menjadi bahan ejekan tanpa henti oleh penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez yang muncul wira dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol Aston Villa itu meraikan kemenangan dengan anak patung yang memaparkan wajah bintang Perancis itu selepas dia membalas komen Mbappe yang mempersoalkan kekuatan negara Amerika Selatan itu.

Ketika meraikan kemenangan, Messi berada di sebelah Martinez, semasa dia memegang anak patung mengejek, tetapi tidak menunjukkan sebarang usaha untuk menghalang penjaga golnya itu bertindak sedemikian.

Situasi itu sekali gus menyebabkan beberapa orang mempersoalkan sama ada akan wujud ketegangan antara dirinya dan Mbappe apabila mereka kembali ke Paris bersama PSG.

Galtier bagaimanapun, bertegas tindakan Martinez perlu dipisahkan daripada Messi.

“Saya akan menumpukan perhatian kepada hubu­ngan mereka. Bukan Messi yang menyakiti orang lain. Apa yang saya lihat selepas final, apa yang saya alami, tidak ada sebab untuk mencampuradukkan perkara ini kerana tingkah laku penjaga gol itu terserah kepadanya.

“Apa yang penting bagi saya ialah hubungan antara pemain. Mbappe mempunyai sikap yang sangat baik, walaupun kalah. Sudah tentu, dia sangat kecewa, tetapi dia melakukannya dengan cara yang berkelas.

Dia mengucapkan tahniah kepada Messi dan itu satu perkara yang sangat baik untuk kelab dan pasukan,” katanya.

Messi dan Mbappe perlu bersatu dengan berkesan jika mereka dan PSG ingin mencapai matlamat selepas menduduki tempat teratas Ligue 1 ketika ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN