PRU15 Padang Serai: Ada pengundi tak sedar calon tarik diri

PRU15 Padang Serai: Ada pengundi tak sedar calon tarik diri

ORANG ramai termasuk warga emas menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Kebangsaan Bukit Selarong, Kedah, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Terdapat pengundi tidak sedar ada calon menarik diri daripada bertanding di Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung semalam.

Ramai mengakui tidak menerima pemakluman berhubung perkara itu selain tidak perasan dengan laporan media yang menyebut tentang penarikan diri berkenaan.

Penuntut universiti, Azieza Nour Afifah Azman Zahidi, 20, berkata, dia hanya hadir untuk memangkah calon pilihannya di pusat mengundi selepas pertama kali layak berbuat demikian.

“Saya sebenarnya teruja mengundi kerana ini kali pertama bergelar pengundi apatah lagi kebetulan sekarang adalah cuti pertengahan semester.

“Saya baru balik ke kampung di Kampung Tunku Putra, di sini pada Jumaat lalu dan tidak tahu ada calon tarik diri,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak.

Bagaimanapun, nama kedua-dua mereka tetap tertera pada kertas undi memandangkan penarikan diri hanya dibuat selepas proses penamaan calon pada 24 November lalu.

Proses pengundian di kerusi itu ditangguhkan ke semalam susulan kematian calon PH, mendiang M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu pada 16 November lalu.

Sementara itu, seorang pekerja kilang, Norizayu Azli, 19, juga memaklumkan dia juga tidak mengetahui ada calon menarik diri.

“Tidak dengar pula ada orang tarik undi, saya hanya datang mengundi seperti biasa dan tidak tahu sama ada calon yang saya pilih itu menarik diri atau tidak,” katanya.

Seorang suri rumah, Fauziah Desa, 58, pula berkata, dia mungkin terlepas maklumat itu memandangkan kini tinggal dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

“Saya undi untuk Parlimen Padang Serai kerana dulu menyewa di sini tetapi tujuh anak yang sudah mengundi pada 19 November lalu mengundi di Parlimen Kulim-Bandar Baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN