Polis Kuala Lumpur catat kadar pertuduhan kes mahkamah tertinggi 

Polis Kuala Lumpur catat kadar pertuduhan kes mahkamah tertinggi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menerima sebanyak 400,000 aduan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya berhadapan cabaran besar untuk memuaskan hati pihak yang mengadu dengan angka tinggi itu jika dibandingkan dengan kekuatan pegawai dan anggota kontinjennya seramai 9,200 orang.

Namun katanya, beliau berbangga dengan komitmen ditunjukkan pegawai dan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur apabila setakat ini mencatatkan kadar pertuduhan ke mahkamah yang tertinggi dibandingkan dengan lain-lain kontinjen di seluruh negara.

“Saya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur suka menyatakan di sini rasa bangga itulah standard yang sudah ditonjolkan, dibina dan akan dikekalkan pegawai polis Kontinjen Kuala Lumpur. 

“Kita melakukan sesuatu dengan terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Apresiasi Sukan Polis Kuala Lumpur bersama rakan media dan rakan kolaboratif, di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur malam tadi.

Kata Azmi, sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur sudah mencatatkan sebanyak 67 peratus kadar pertuduhan ke atas aduan yang dirujuk kepada mereka.

Kata beliau, ia diikuti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang mencatat peratusan  lebih tinggi iaitu 73 peratus manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mencatatkan 97 peratus kadar pertuduhan.

“Secara peribadi berdasarkan kepada pengalaman saya sebagai seorang pegawai kanan polis yang sudah pun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 35 tahun, tiada satu pun perkara yang menjadi kebanggaan seorang ketua apabila semua anak buahnya dapat memberikan prestasi tinggi seperti dicatatkan Polis Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.

“Tentu sahaja mengekalkan prestasi terbaik bukannya sesuatu yang mudah. Saya sangat berharap untuk tahun 2023 nanti Polis Kuala Lumpur  dapat meningkatkan lagi prestasi demi nama baik pasukan PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada petugas media yang banyak membantu Polis Kuala Lumpur menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

“Media adalah contoh terbaik untuk polis mengungkap atau pun maksudkan apa yang dipanggil ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’. 

“Kongsilah berita seumpama ini dengan data dan fakta yang tepat untuk diketahui masyarakat supaya kita akan sama-sama membina dan membangunkan negara secara cekap dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya