Polis bongkar stor simpan dadah RM11.5 juta

Polis bongkar stor simpan dadah RM11.5 juta

YAHAYA Othman (dua dari kanan) semasa sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM11.5 juta di IPK Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menyewa dan menjadikan rumah teres di Setiawangsa, dekat sini sebagai stor menyimpan ‘barang’ terbongkar selepas diserbu polis, Sabtu lalu.

Serbuan pada pukul 5.40 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur itu turut menemukan syabu seberat 320 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM11.5 juta.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan tersebut dijalankan hasil risikan pihaknya sejak September lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 29 tahun dan 34 tahun dipercayai penjaga stor ditahan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala seorang suspek positif dadah selepas saringan air kencing dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, rampasan dadah itu adalah terbesar di Kuala Lumpur bagi tahun ini dan polis kini giat mengesan saki baki ahli sindiket.

Kata beliau, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak September lalu dan bekalan dadah diperoleh dari Pantai Timur sebelum dikumpulkan di stor berkenaan.

“Kita juga sedang menyiasat modus operandi sindiket ini, ke mana dadah ini dijual dan apa peranan sebenar dua lelaki terbabit. Dadah tersebut dipercayai dijual mengikut bungkusan yang ditetapkan pada harga RM35,000 bagi sekilogram,” katanya.

Menurut Yahaya, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM20,800.

“Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.