PM terima kunjungan TPM Thailand

PM terima kunjungan TPM Thailand

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan hormat Prawit Wongsuwan, di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya. - GAMBAR IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan, di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.

Kunjungan khas kali kedua Prawit ke negara ini itu antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara serta bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau itu.

Beliau yang diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jen Chaichan Changmongkol itu disambut Anwar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiaannya mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dan para delegasi diraikan dalam majlis makan tengah hari.

“Menerima kunjungan hormat sahabat saya yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand, TYT Prawit Wongsuwan di Seri Perdana tengahari tadi.

“Saya turut mengambil kesempatan memperkenalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada beliau.

“Malaysia dan Thailand punyai hubungan yang cukup baik sejak sekian lama dan saya menzahirkan harapan agar ia terus diperkasa melalui kerjasama dalam pelbagai lapangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Perdana Menteri dalam kenyataan ringkas kepada media rasmi Malaysia berkata, perbincangan beliau dan Prawit antara lain menyentuh mengenai insiden letupan bom mengakibatkan sebuah keretapi barang yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir, pada 6 Dis lalu.

Terdahulu, Prawit dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11 pagi tadi bagi sesi lawatan khas sehari ke Malaysia.

Ini merupakan kunjungan kedua Prawit ke Malaysia sejak pintu sempadan negara dibuka semula pada April lalu, akibat pandemik Covid-19.

Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lepas bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di rantau ASEAN, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya