PH Pulau Pinang ‘all out’ hadapi PRN - Utusan Malaysia

PH Pulau Pinang ‘all out’ hadapi PRN

FADHLINA Sidek (duduk) dan Chow Kon Yeow (kanan) pada majlis Program Khatan Perdana Jawi di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengerah semua tenaga (all out) mulai bulan depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu perlu susulan trend pemilihan pengundi berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan lalu.

Katanya, keputusan yang diperoleh menjadi petunjuk memandangkan PRU15 kali ini tidak dijalankan serentak bersama PRN.

“Katakanlah kedua-duanya dijalankan serentak, pengundi kadangkala akan menggunakan kebijaksanaan memilih di peringkat Parlimen dan peringkat DUN, maka (keputusannya) mungkin tak sama atau sebaliknya.

“Ia terpulang kepada beberapa faktor, mungkin pengundi akan lihat parti yang bertanding, calon yang bertanding dan dasar-dasar yang ingin diperjuangkan. Semua faktor itu akan mempengaruhi pilihan pengundi, namun hakikatnya beberapa kawasan DUN kita tak dapat undi majoriti dan kalah berdasarkan undian PRU15,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ditemui pemberita pada majlis Program Khatan Perdana Jawi di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Kon Yeow mengulas berhubung andaian PH Pulau Pinang bakal kehilangan enam atau tujuh kerusi dalam PRN akan datang disebabkan gelombang sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya di kerusi majoriti Melayu seperti yang berlaku pada PRU15.

Semalam, sebuah portal melaporkan kemenangan besar PN di Padang Serai, Kedah juga sewajarnya membimbangkan PH sekali gus menjangkakan pengaruh gabungan parti itu Pulau Pinang tidak akan menjadi sekuat seperti dulu.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, pelbagai strategi bakal diatur selain merancakkan program, menganjurkan lawatan untuk mendekati masyarakat di samping bertemu dengan agensi-agensi bagi mencari penyelesaian isu-isu yang dikumpul semasa kempen PRU15.

“Saya boleh katakan yang kita boleh rehat satu dua minggu lagi untuk tindakan susulan (follow up) segala urusan PRU15, membersihkan kawasan dan menyediakan laporan. Apabila keputusan PRU15 telah digazetkan dan semua penyata perbelanjaan sudah diserahkan, kita akan bergerak cergas kembali bulan depan.

“Begitu juga di Batu Kawan, saya telah mengatur sesi libat urus bersama agensi untuk memberi maklum balas kepada isu-isu yang saya terima semasa kempen dan mendengar cadangan mereka berkaitan kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.