PH, BN perlu cari jalan kembali tarik sokongan Melayu - Utusan Malaysia

PH, BN perlu cari jalan kembali tarik sokongan Melayu

Sentimen No DAP, No Anwar terus hantui PH-BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mencari jalan serta strategi terbaik untuk kembali menarik sokongan orang Melayu termasuk golongan muda yang jelas lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk terbaharu di Parlimen Padang Serai menunjukkan PH dan BN ditolak di negeri-negeri yang majoriti pengundi Melayu selain sokongan anak muda lebih ke arah gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, kelebihan PH dan BN sebagai kerajaan ketika ini perlu digunakan sebaik-baiknya dalam menarik kembali sokongan orang Melayu melalui polisi serta dasar-dasar yang bakal ditetapkan.

Katanya, kemenangan PN di Parlimen Padang Serai kelmarin juga sudah dijangka memandangkan tsunami pengundi Melayu dan anak muda menyokong gabungan tersebut pada PRU15 masih kuat ketika ini.

Jelasnya, majoriti pengundi Melayu dan anak muda jelas masih ke arah PN meskipun gabungan tersebut bukan sebagai kerajaan.

“Isyaratnya jelas, PH dan BN kena cari jalan tarik kembali sokongan orang Melayu dan anak muda. Polisi dan dasar kerajaan baharu ini perlu dilaksanakan dengan baik agar tidak lagi kehilangan sokongan orang Melayu.

“Kerajaan juga perlu bersifat adil kepada semua termasuk di negeri-negeri pembangkang dan dengan cara ini sokongan orang Melayu khususnya akan kembali kepada PH dan BN.

“Rakyat sedang perhati dan PH dan BN juga perlu mencari sebab mengapa sokongan orang Melayu serta anak muda ini memihak kepada PN,” katanya.

Keputusan PRU15 di Parlimen Padang Serai kelmarin menyaksikan calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 selepas mendapat 51,637 undi mengatasi calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Di Tioman pula, BN mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dengan majoriti tipis 573 undi.

Berakhirnya PRU15 menyaksikan PH menguasai 82 kerusi Parlimen, PN (74), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula sebanyak enam kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, BN terutama UMNO perlu melakukan pembaharuan bagi menarik semula sokongan orang Melayu yang ketika ini sudah beralih kepada PN.

“Orang Melayu lazimnya mengambil masa singkat untuk kembali neutral dan BN serta PH perlu berusaha kembali menyakinkan mereka dengan prestasi terbaik di dalam kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya