RANTAU PANJANG: Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM12 juta bagi mengatasi masalah banjir termenung yang sering ‘menghantui’ penduduk di kawasan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu membabitkan pembelian pam air berkuasa untuk diletakkan di enam lokasi terlibat dengan banjir termenung.
“Pam tersebut berperanan menyedut keluar air dari kawasan terjejas. Selain langkah segera yang kita lakukan ini, pendekatan jangka panjang turut dilakukan termasuk projek tebatan banjir,” katanya dalam sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan sempena lawatan program turun padang beliau untuk meninjau dan mengenal pasti masalah serta mengambil langkah awal sebagai persiapan awal bencana banjir di negeri ini.
Yang hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. – UTUSAN