PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) merayu kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan agar menyambung moratorium penyewaan kantin.
Presidennya, Khairudin Hamzah berkata, cuti sekolah yang banyak termasuk cuti hujung minggu dan cuti umum menjejaskan produktiviti perniagaan kantin serta memberi impak besar kepada kewangan mereka.
Katanya, cuti pada Januari, Februari, Mac, April, Mei dan Jun menjadikan operasi kantin tidak banyak serta tidak produktif.
“Keadaan ini membuat pihak pengurusan kantin menghadapi masalah dalam membayar sewa kantin, bil utiliti, gaji pekerja dan lain-lain. Perkara tersebut membuatkan senario ramai pengusaha kantin gulung tikar berlaku kembali.
“Saya berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan dapat mengambil serius rayuan kami ini,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN










