Perkukuh kerjasama dwipartisan libatkan blok pembangkang - Utusan Malaysia

Perkukuh kerjasama dwipartisan libatkan blok pembangkang

BARISAN kepimpinan PH Johor menyeru Menteri Besar memperkukuh kerjasama dwipartisan di peringkat DUN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor menyeru kerajaan negeri memperkukuh kerjasama dwipartisan melibatkan blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam agenda kesejahteraan rakyat.

PH Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah membuka lembaran baharu ke arah politik yang lebih matang, terutamanya menjalin kerjasama antara gabungan parti.

PH Johor yakin Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk dapat menyuntik perspektif baharu dalam menambah baik sistem federalisme yang lebih seimbang dan adil antara Putrajaya dan kerajaan negeri termasuk Johor.

“Kerjasama antara gabungan parti membuktikan bahawa Malaysia memerlukan kepercayaan, keyakinan dan usahasama pimpinan tanpa mengira latar belakang politik demi mengangkat kepentingan rakyat.

“Sehubungan itu, PH Johor menyeru Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar memperkukuh kerjasama dwipartisan antara kerajaan negeri dan pembangkang di DUN Johor dalam agenda kesejahteraan rakyat,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor; Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

PH Johor memaklumkan, Johor kini menjadi negeri barisan hadapan PH di peringkat kebangsaan sejak PRU14.

Justeru pihaknya terbuka serta komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Menurut kenyataan itu, Johor yang dahulunya merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sudah mula membuka pintunya kepada PH pada PRU14 dan mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya di Johor pada PRU15.

Pada PRU15, PH dengan kerjasama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berjaya memenangi 15 kerusi Parlimen di Johor berbanding BN yang hanya mendapat sembilan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya