PADANG BESAR: Satu kejadian pengeboman dilaporkan berlaku berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand sehingga menyebabkan perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Stesen Padang Besar tergendala.
Menurut sumber, kejadian pada pukul 2 petang semalam itu menyebabkan gerabak kereta api berhampiran stesen berkenaan tergelincir daripada landasan sekali gus terbalik.
Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan landasan kereta api itu terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.
Jelasnya, pengoperasian semula landasan berkenaan juga akan dimaklumkan selepas kerja-kerja baik pulih itu selesai dijalankan oleh berkaitan.
Difahamkan, tiada mana-mana rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam kejadian itu memandangkan kereta api berkenaan tidak membawa muatan penumpang.
Stesen Kereta Api Khlong Ngae merupakan antara laluan penghubung buat pengguna dari Padang Besar yang ingin ke Hatyai, Thailand dengan menggunakan perkhidmatan rel. – UTUSAN