Penoreh getah hidup tertekan akibat harga, cuaca

Penoreh getah hidup tertekan akibat harga, cuaca

HARGA getah yang rendah mengakibatkan ramai penoreh mengeluh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Golongan penoreh getah terus berdepan situasi sukar ekoran terhimpit dengan kadar harga komoditi itu yang masih rendah di samping berdepan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Keadaan perit lebih dirasai oleh penoreh getah yang bergantung pendapatan secara ‘pawah’ atau mengambil upah menoreh daripada pemilik kebun hingga mengakibatkan mereka sering kesempitan wang untuk menyara keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penoreh, Zamri Omar, 65, dari Kampung Kubang Bemban di sini berkata, dia hilang punca pendapatan sejak seminggu lalu selepas hujan setiap hari di daerah ini.

“Hujan memberi kesan kerana pokok getah basah yang menyebabkan susu tidak dapat mengalir dan jika ditoreh batang pokok getah boleh rosak.

“Sudahlah harga getah sekerap murah ditambah dengan tiada peluang menoreh menyebabkan kami tertekan kerana tiada sumber pendapatan,” katanya yang mengusahakan kebun sendiri seluas 0.2 hektar berdekatan rumahnya.

Bagi penoreh secara pawah, Ramli Mat Piah, 62, sejak seminggu lalu dia terpaksa melakukan kerja lain untuk mencari wang sementara menunggu pokok getah kembali kering selepas cuaca hujan sebelum ini.

“Harga getah sekerap minggu lalu RM1.90 sekilogram dan dengan 100 kilogram susu yang diperoleh, dapatlah pendapatan RM80 selepas dibahagi dua dengan pemilik.

“Jumlah itu tidak mencukupi kerana jualan getah sekerap bukan secara harian sebaliknya dikumpul antara tiga atau empat hari sekali baru dijual,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, dia terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai nelayan bagi menampung perbelanjaan harian.

Rusli Hanapiah, 56, dari Kampung Bendang Dalam pula berkata, harga getah yang rendah menyebabkan mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tanaman itu untuk meneruskan kehidupan dengan selesa.

“Dalam sebulan dapatlah tiga kali jual dan hasilnya antara RM400 hingga RM500 dan ini memang tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

“Pendapatan ini berdasarkan harga getah sekerap antara RM1.90 hingga RM2, tetapi jika berlaku penurunan harga di bawah RM1.80 tentunya kehidupan kami akan teruk terhimpit,” katanya yang mengusahakan 400 batang pokok getah di kebunnya.

Sehubungan itu, penoreh meminta kerajaan mengkaji semula harga lantai getah sekerap yang terlalu murah selain memberi lebih banyak subsidi atau bantuan berkala kepada pemilik kebun untuk membolehkan mereka terus hidup dalam keadaan lebih selesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN