Peniaga didakwa culik Azie

Peniaga didakwa culik Azie

CHEK Norhafizzi Chek Nor (tengah) diiringi polis untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menculik seorang ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim, 36, atau Azie, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah dari Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat kira-kira pukul 5.06 petang pada 13 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes yang dilakukan tertuduh amat serius apabila membawa wanita tersebut ke negara jiran.

Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon mahkamah memberi jaminan terhadap anak guamnya dengan jumlah ikat jamin yang setimpal. 

Mahkamah menolak permohonan ikat jamin kerana tertuduh berisiko melarikan diri ke negara jiran.

Selain itu, mahkamah memandang serius jenayah yang dilakukan oleh Chek Norhafizzi yang boleh mengancam nyawa orang lain.

Mahkamah menetapkan 20 Januari ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, Rosnazirah  yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios pada 13 September lalu.

Pihak berkuasa Thailand menyerbu dua buah rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi Rosnazirah  disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, Rosnazirah diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand dan dibawa pulang ke Malaysia.

Menurutnya, lokasi keberadaan mangsa di negara itu dapat dikesan melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand.

Rosnazirah selamat pulang ke pangkuan keluarganya di Jalan Kelochor, Kota Bharu pada 3 Oktober lalu selepas tiga minggu dibawa lari. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.