Pengasuh taska dipenjara 7 hari, denda RM32,000 aniaya 2 kanak-kanak - Utusan Malaysia

Pengasuh taska dipenjara 7 hari, denda RM32,000 aniaya 2 kanak-kanak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh taska dipenjara tujuh hari dan denda RM32,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan berasingan iaitu menyerkup kepala seorang kanak-kanak dengan plastik dan mengheret tangan seorang lagi anak asuhannya secara kasar.

Tertuduh, Siti Rosliza Mukthar, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim
Norina Zainol Abidin dan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud.

Bagi kes pertama yang disebut di hadapan Norina, Siti Rosliza dipenjara tujuh hari dan denda RM20,000 kerana menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dua bulan dengan cara menyerkup kepala mangsa menggunakan plastik.

Sementara di hadapan Nu’aman pula, pengasuh tersebut dipenjara sehari dan denda RM12,000 kerana menganiaya seorang kanak-kanak lelaki usia sama dengan cara mengheret tangan mangsa secara kasar dan menarik rambut untuk mendudukkannya.

Hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini dan sekiranya Siti Rosliza gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama 18 bulan.

Kedua-dua perbuatan itu mungkin akan menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah taska di Brickfields di sini, masing-masing pukul 3.19 petang dan 5.36 petang pada 16 November lalu.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pasukan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri dan Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Ini kerana tindakan yang dilakukan Siti Rosliza boleh menyebabkan kecederaan serius pada fizikal kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.

“Saya sudah tidak bekerja dan mempunyai pinjaman pembiayaan yang perlu dilunaskan,” katanya.

Menurut fakta kes, bapa mangsa bagi kes pertama memohon menyemak rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) selepas menerima maklumat berlaku penderaan dipercayai melibatkan taska anaknya.

Bapa berkenaan memohon menyemak rakaman itu bagi memastikan sama ada anaknya juga didera.

Hasil pemeriksaan rakaman CCTV menunjukkan seorang pengasuh memukul belakang mangsa sebanyak dua kali dan menyerkup kepalanya dengan plastik.

Siasatan mendapati, kejadian yang berlaku pada 16 November lalu berpunca daripada perbuatan mangsa terkencing ketika pengasuh berkenaan ingin menukar lampin menyebabkan air kencing terkena kain yang dipakainya.

Siasatan turut menunjukkan, pengasuh berkenaan telah memukul badan kanak-kanak itu sebanyak dua kali dan menyerkup kepala mangsa dengan beg plastik selama lima hingga enam saat serta memegang kepalanya dengan kedua-dua tangan.

Hasil siasatan juga menyatakan, Siti Rosliza mula bekerja di taska berkenaan sejak Julai lalu.

Dalam kes kedua, pengadu iaitu ibu kepada kanak-kanak lelaki itu memohon untuk memeriksa rakaman CCTV selepas mendapati telinga anaknya mempunyai kesan luka dan lebam.

Rakaman CCTV itu menunjukkan Siti Rosliza menolak dan mengheret anak wanita itu hingga terjatuh.

Laporan awal perubatan pula mengesahkan terdapat kesan lebam pada bahagian telinga kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya