Pengasas SADA meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pengasas SADA meninggal dunia

AZMI DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengasas Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Azmi Din yang pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (CEO) dan Pengarah Urusan syarikat tersebut meninggal dunia di kediamannya di Sungai Petani kira-kira pukul 10 malam tadi.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor dalam satu hantaran di laman Facebooknya selain nukilan khas menggambarkan keakraban kedua-dua mereka termasuk buah fikiran serta kegigihan Azmi yang akan sentiasa dirindui.

“Azmi adalah pengasas SADA yang mengambil alih dan menukar rejim Jabatan Bekalan Air (JBA) sebelum dibentuk dan diasuh menjadi sebuah syarikat utiliti milik kerajaan negeri dengan segala kepayahan bermula 2010. Beliau kemudiannya bersara kali pertama pada 2016.

“Pada Mei 2020 ketika saya ambil alih pemerintahan negeri, SADA sedang tenat sejak beberapa tahun di bawah pentadbiran sebelumnya. SADA mengalami kerugian RM36 juta dalam operasinya pada 2019 dan saya hubungi serta memujuk Azmi yang sudah berkerusi roda untuk kembali semula ke syarikat itu sebagai pengarah urusan bagi memulihkannya.

“Akhirnya beliau bersetuju dan berikrar tidak akan ambil gaji sekupang (10 sen) pun selagi SADA tak berjaya dipulihkan. Ketika itu perkhidmatan bekalan air seluruh negeri terjejas teruk kerana kerja penyelenggaraan infra tidak dibuat untuk tempoh dua tahun (2018 dan 2019) kerana perbelanjaan operasi terlalu tinggi manakala kutipan hasil merosot teruk,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, tidak hanya beroperasi dalam kerugian, malah simpanan tetap SADA didapati turut dicairkan untuk menampung pembayaran gaji kakitangan sehingga menyebabkan Azmi amat marah dengan apa yang berlaku.

Malah katanya lagi, hutang kepada konsesi, pembekal bahan kimia, elektrik dan Lembaga Sumber Air mencecah RM148 juta.

“Namun bermula Jun hingga Disember 2020, sebahagian hutang berjumlah RM79 juta dapat dilunaskan melalui langkah penjimatan operasi. Proses migrasi yang tertangguh sejak beberapa tahun juga diselesaikan hingga membawa kepada pelupusan pinjaman kepada kerajaan Persekutuan berjumlah RM691 juta.

“Tahun pertama kembalinya wira saya itu telah membawa kebangkitan besar dalam SADA. Akhirnya akaun 2020 ditutup dengan mencatat untung RM1 juta sekali gus bermaksud beliau dapat meningkatkan hasil sebanyak RM37 juta dan menimbus hutang syarikat pada 2019 berjumlah RM36 juta.

Muhammad Sanusi berkata, hanya ketika SADA mula mencatat untung, barulah Azmi mahu menerima gaji sebagai Pengarah Urusan syarikat itu bermula tahun lalu.

“19 Disember (semalam), perjanjian pelaksanaan program menangani masalah air tidak terhasil (NRW) secara holistik yang diterokai beliau telah ditandatangani antara SADA dengan firma Rai Utility Sdn. Bhd. dan setelah selesai langkah terakhir itu untuk memulihkan bekalan air di Kedah, beliau pun kembali ke alam abadi pada malam hari yang sama.

“Semoga kerja keras beliau selama lapan tahun di SADA dan 34 tahun sebagai pegawai tadbir negeri Kedah (KCS) menjadi amal soleh serta bekalan menuju ke syurga,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya