PETALING JAYA : Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbangga dengan pelantikan semula Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pengalaman luas Mohamed Khaled akan membantu kecemerlangan pendidikan tinggi di negara ini.
“Kami amat berbangga dengan pelantikan semula Datuk Seri Khaled Nordin sebagai menteri,” ujarnya kepada Utusan Online.
Beliau berkata, pendidikan tinggi hari ini merupakan faktor terpenting dalam membangun bakat muda di Malaysia kerana selain menjana ekonomi, ia akan menjadikan negara ini sebagai destinasi pengajian bertaraf antarabangsa.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Noraini (Ahmad) yang memacu kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia dengan cemerlang sebelum ini,” ujar beliau lagi.
Perdana Menteri mengumumkan senarai 25 anggota Jemaah Menteri yang melantik Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini. –UTUSAN