Penduduk buat pembelian panik - Utusan Malaysia

Penduduk buat pembelian panik

ORANG ramai mendapatkan bekalan barangan basah di Pasar Tok Guru di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Situasi cuaca yang tidak menentu serta beberapa kawasan yang tidak pernah ditenggelami banjir menyebabkan penduduk pembelian panik apabila kawasan pasar dan pasar raya penuh dan sesak ekoran bimbang situasi banjir makin buruk di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di dua lokasi iaitu Pasar Tok Guru di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa dan Pasaraya Pantai Timur, Taman Bendahara mendapati, orang ramai mulai beratur panjang untuk mendapatkan barangan basah serta keperluan harian seawal pukul 9 pagi semalam.

Seorang pelanggan, Mohd Nazri Mat Zain, 42, berkata, dia mengambil keputusan membuat persiapan awal dengan membeli barangan basah dan kering untuk berdepan sebarang kemungkinan cuaca lebih buruk selepas ini.

“Apa yang berlaku ketika ini di luar jangkaan, buat kali pertama rumah saya ditenggelami air. Pada 2014, rumah saya terselamat.

“Oleh itu, saya ambil langkah selamat dengan membeli barangan basah kerana khuatir tidak dapat keluar selepas ini,” katanya di sini.

Sementara itu, Che Yah Othman, 78, memberitahu, dia turut membeli bahan mentah harian termasuk ikan dan sayur-sayuran sebagai stok bekalan susulan cuaca tidak menentu.

“Saya buat persediaan awal lagipun keadaan hujan pada kali ini luar jangka, kediaman tak pernah banjir pun banjir, banyak kawasan tenggelam.

“Jadi saya ambil langkah selamat beli bekalan barangan basah dan simpan, lagipun kita tidak boleh jangka cuaca sekarang ni, apapun kita harap banjir besar seperti 2014 tidak berulang, dan keadaan akan kembali pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN