PETALING JAYA: Pengunduran Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan satu proses peralihan tampuk kepimpinan sesebuah parti.
Ketua Pejuanita (Pejuang), Datin Che Asmah Ibrahim berkata, meskipun Dr. Mahathir telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi parti itu, namun beliau akan terus kekal sebagai ahli Pejuang.
Menurutnya, asas perjuangan yang telah diletakkan oleh Dr. Mahathir untuk kekal berprinsip, tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa serta berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air akan kekal menjadi tonggak perjuangan yang seterusnya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir meletakkan jawatanNya sebagai pengerusi parti Pejuang.
Sementara itu, Asmah dalam kenyataan yang sama turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan pengorbanan kepada Dr. Mahathir di atas jasanya dalam memimpin parti itu selama jawatannya sebagai presiden Pejuang.
“Kami Pejuanita Malaysia sentiasa mendoakan agar Dr. Mahathir dan Dr.Siti Hasmah dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada di dalam rahmah dan kasih sayang Allah SWT.
“Pejuanita Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Tun, di atas segala sumbangan, buah fikiran dan tunjuk ajar sepanjang tempoh beliau memimpin Parti Pejuang Tanahair dari peringkat penubuhan sehingga ke tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Asmah menambah, Dr. Mahathir juga telah meletakkan satu penanda aras kepimpinan yang sangat tinggi untuk dicapai oleh kepimpinan yang akan datang
Dalam pada itu, Ketua Pejuanita Muda parti berkenaan, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata perjuangan partinya akan diteruskan seperti biasa dan kepimpinan akan berusaha lebih keras.
“Kita akan buat penambahbaikan, “ ujarnya.
Sebelum ini Ketua Pejuang Muda Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pejuang Muda daripada parti berkenaan baru-baru ini.
Menurut Abu Hafiz, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi Pejuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru-baru ini.
“Semoga kepimpinan baru sayap pemuda Pejuang mampu mengemudi Pejuang Muda dengan lebih baik dan cemerlang.
“Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan buat (Pengerusi Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan utama parti Pejuang dan teman-teman kepimpinan Pejuang Muda Malaysia atas kepercayaan bagi menggalas amanah sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia.
“Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.
Pada PRU-15 lepas, semua 117 calon Pejuang hilang wang deposit sekali gus menjadi parti tertinggi yang menyumbang kepada hilang wang pertaruhan berbanding parti lain. – UTUSAN