PETALING JAYA: Pemilihan UMNO termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak menggugat kestabilan kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, sebarang perubahan kepemimpinan UMNO dilihat tidak memberi kesan kepada kedudukan kerajaan meskipun pimpinan tertinggi parti itu terlibat dalam pembentukan tersebut.
Beliau berkata, kedudukan kerajaan masih kekal kerana mempunyai sokongan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sekiranya UMNO menarik diri.
“Katakanlah dicabar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kalah, ia mungkin memberi kesan kepada kerajaan sebab Ahmad Zahid prokerajaan dan penentang beliau tentunya lebih pro-Perikatan Nasional (PN).
“Sebelum ini pun 10 ahli Parlimen sudah tandatangan Akuan Bersumpah (SD) dan kalau kumpulan ini menang, maka mereka tentu tarik diri daripada kerajaan.
“Tetapi kerajaan masih kekal sebab (sokongan yang ada) 148 ahli Parlimen dan jika 30 Ahli Parlimen tarik (sokongan), masih ada 118 (sokongan).
“Malah, dalam masa parti-parti (yang membentuk kerajaan) juga sudah memeterai perjanjian, jadi ia mencerminkan hubungan dalam kerajaan itu kuat. Jika penentang Ahmad Zahid tarik diri, yang berubah mungkin hanya dari segi jawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, UMNO perlu membuka jawatan Presiden dan Timbalan Presiden serta semua jawatan lain untuk dipertanding dalam pemilihan parti itu tahun depan sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kali terakhir jawatan Presiden dipertanding adalah pada 2018 yang dimenangi oleh Ahmad Zahid menewaskan Khairy Jamaludin dan Tengku Razaleigh Hamzah manakala Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Tan Sri Annuar Musa.
Dr. Mazlan berkata, dari sudut lain, cadangan supaya dua jawatan tertinggi UMNO itu tidak dipertandingkan bagaimanapun perlu dilihat dari sudut positif.
Beliau berkata, ini kerana sekiranya ada pertandingan untuk kedua-dua jawatan berkenaan, maka ia menunjukkan sudah ada penentangan terbuka untuk kepemimpinan UMNO.
“Cadangan itu mengurangkan ketegangan supaya pemilihan UMNO tidak terlalu panas sehingga boleh menyebabkan kepada perpecahan parti.
“Tetapi selepas PRU15, ramai dilihat tidak berpuas hati dengan Ahmad Zahid, kalau dibenarkan bertanding mungkin semua bertanding dan menyebabkan UMNO lebih parah sehingga berpecah,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, kedua-dua jawatan itu sama ada dipertanding atau sebaliknya bukan sahaja boleh memberi kesan kepada UMNO tetapi kepada kestabilan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, ini kerana sokongan UMNO terhadap kerajaan perpaduan boleh dipersoal sekiranya Ahmad Zahid dan Mohamad tewas, bergantung kepada siapa yang mencabar kedua-dua jawatan itu.
Malah, katanya, sekiranya kedua-dua jawatan itu tidak dipertanding, tetapi jawatan lain dipenuhi anti-Ahmad Zahid dan Mohamad serta anti-Pakatan Harapan (PH), maka ia tidak akan menstabilkan kerajaan perpaduan.
“Tetapi, kalau tidak dipertanding maka tidak tenggelam isu Ahmad Zahid terutama sekali sebagai Presiden UMNO yang dikatakan punca kenapa parti itu tewas teruk pada PRU15. Itu akan diungkit selamanya selagi Ahmad Zahid menjadi Presiden.
“Namun jika dipertandingkan dan Ahmad Zahid menang, maka cerita-cerita di belakang tadbir menuduhnya sebagai punca kekalahan akan tenggelam kerana beliau menang dan disokong akar umbi UMNO,” katanya. – UTUSAN









