PETALING JAYA: Pemergian Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank khususnya sektor perbankan dan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, mendiang adalah pengasas Public Bank yang menubuhkan bank tersebut pada 1965.
“Saya mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang Pengerusi Emeritus Public Bank di atas pemergiannya pagi tadi.
“Pemergiannya ini tentunya meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank, sektor perbankan dan juga negara. Saya doakan keluarga mendiang tabah dan kuat atas kehilangannya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu kenyataan media Public Bank memberitahu Hong Piow meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi ini pada usia 92 tahun.
“Pemergian Hong Piow adalah satu kehilangan besar kepada Kumpulan Public Bank. Bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan Kumpulan Public Bank, kami menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Hong Piow,” kata Public Bank dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Forbes 2022 melaporkan Hong Piow merupakan individu keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$5.7 bilion (RM25 bilion). – UTUSAN









