Pemborong di Terengganu tidak jual telur import

Pemborong di Terengganu tidak jual telur import

PENGGUNA mendapatkan telur ayam yang dijual di Pasaraya Mydin Subang Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majoriti pemborong di negeri ini enggan mengambil risiko menjual telur ayam import dari India bagi menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran.

Tinjauan di beberapa kedai borong dan runcit di bandar raya ini semalam mendapati, tiada telur ayam import yang dijual atas alasan tahap kebersihan dan kualiti bahan makanan itu yang meragukan.

Seorang pemborong, Zulaikha Zulkifli, 29, berkata, dia bimbang menanggung kerugian sekiranya telur ayam import tidak mendapat sambutan daripada pengguna.

Ini kerana, katanya, harga telur ayam import lebih mahal berbanding telur tempatan dan peniaga tidak mendapat keuntungan besar.

“Lagipun kami tidak pasti tahap kebersihan dan kualitinya walaupun kerajaan memberi jaminan telur import berkenaan mematuhi piawaian serta pemeriksaan yang rapi.

“Setakat ini saya hanya menjual telur ayam tempatan, itu pun masih meruncing selepas kali terakhir menerima bekalan dari Melaka tiga hari lalu, sebanyak hampir 5,000 papan.

“Telur semua gred itu ‘licin’ dalam masa empat jam dengan setiap pembeli dihadkan lima papan seorang dan saya belum pasti bila bekalan seterusnya tiba,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna, Wan Nurul Syuhada Wan Mohamad, 31, berkata, telur ayam tempatan menjadi pilihannya berbanding telur import atas faktor kebersihan.

Menurutnya, dia lebih sanggup beratur panjang di kedai runcit bagi mendapatkan telur tempatan yang diyakini lebih berkualiti meskipun kadangkala terpaksa membeli pada harga lebih mahal.

“Telur ayam sangat mudah tercemar dengan bakteria salmonella dan saya kurang yakin kebersihan telur import dari India walaupun kerajaan menjamin kualitinya.

“Bekalan telur tempatan kita sudah tahu pengeluaran dari dalam negara dan saya lebih memilih telur tempatan atau telur jenis omega walaupun agak mahal untuk kegunaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya