PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai susunan perancangan berlandaskan pengalaman lalu dalam persediaan menghadapi banjir yang sedang melanda di beberapa negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persediaan terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa yang berpandukan kepada pengalaman lepas.
Selain itu katanya, dari sudut keterlibatan dalam mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS), terdapat kira-kira 800 pusat pemindahan disediakan berbanding lebih 400 PPS pada musim monsun timur laut lalu.
“Hari ini, saya Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah turut diberi taklimat mengenai kesiapsiagaan banjir.
“Jadi berasaskan pengalaman lalu, mereka unjurkan keperluan logistik pusat pemindahan sementara yang kita anggap paling penting iaitu perkara pertama selepas mangsa dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Tambah Saifuddin, PDRM sudah sepenuhnya bersedia dalam menghadapi banjir dengan persiapan turut mengambil kira keperluan mewujudkan PPS dengan jumlah yang munasabah.
Malah jelas beliau, PDRM akan menjalankan tugas hakiki mereka menjaga harta benda penduduk yang berpindah ke PPS selain membantu dalam operasi penyelamatan.
“Misalnya di Kelantan, tumpuan sekarang adalah di Sungai Golok iaitu sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang. Namun mengikut pengalaman lepas, selesai (banjir) Rantau Panjang dengan Pasir Mas, air itu mesti sampai ke Tumpat.
“Dari situ, kita boleh baca corak banjir setiap kali musim monsun timur laut. Jadi persiapan kita sekarang ini adalah menggerakkan anggota di kawasan itu tanpa mengabaikan tempat lain selain tugas hakiki pasukan polis dalam apa keadaan sekalipun adalah menjaga harta benda orang ramai termasuk ketika rumah mangsa ditinggalkan,” katanya. – UTUSAN









