SHAH ALAM: Pati minyak wangi dipercayai menjadi punca kepada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sehingga menyebabkan pengguna di 473 kawasan di Selangor serta Putrajaya alami gangguan bekalan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian pati minyak wangi itu dibawa lori kontena yang terbabit kemalangan.
Jelasnya, kemalangan tersebut menyebabkan pati dibawa lori berkenaan melimpah dan mengalir masuk ke sebatang sungai yang berhubung dengan Sungai Semenyih.
“Henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau sungai disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena dengan muatan 20 tan membawa pati minyak wangi di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.
“Pati minyak wangi telah mengalir masuk ke Sungai Limau Manis dan seterusnya dialirkan ke Sungai Semenyih, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas awal pagi tadi sehingga menyebabkan anggaran lebih sejuta pengguna mengalami gangguan bekalan air sejak pukul 7 pagi.
Di Petaling, gangguan bekalan membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).
Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil, manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.
Gangguan di Sepang pula meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.
Kawasan terjejas di Kuala Langat termasuk Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu, manakala Putrajaya meliputi sekitar Presint 1 hingga 20, termasuk Taman Botani dan Dataran Putra.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan, memaklumkan gangguan bekalan air berpunca pencemaran yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir di bawah seliaan Air Selangor.
Syarikat berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai tempoh gangguan, namun memberi jaminan akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden terbabit dari semasa ke semasa menerusi semua medium. – UTUSAN