Pasca PRU15: ‘Pelampung Keselamatan’ Buat Generasi Muda

Pasca PRU15: ‘Pelampung Keselamatan’ Buat Generasi Muda

MAJLIS Penyerahan Felo Perdana dan Felo Korporat yang berlangsung pada bulan Julai lalu bertempat di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sedang mengalami fasa pemulihan pasca pandemik, dalam ekonomi mahupun sosial. Dalam tempoh pasca PRU15 yang lalu serta transisi kepemimpinan dan kerajaan yang baharu, ramai antara kita mula mengharapkan pelan pemulihan dan pembangunan yang lebih terjamin. Ibarat ‘ada cahaya di hujung terowong’, perlunya ‘pelampung keselamatan’ sebagai langkah persediaan mendepani ketidaktentuan yang pelbagai yang mungkin disebabkan oleh krisis ekonomi, inflasi, kos sara hidup mahupun kesan bencana alam.

‘A Brave New World’ yang disebut oleh Dr. Muzaffar Iqbal, seorang sarjana dari Pakistan, menyatakan bahawa kita sedang dalam perjalanan menuju ke dunia baharu yang menjanjikan perubahan yang begitu pantas lagi mengujakan.

Sejak pandemik, kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran, serta menyedari hakikat beberapa polisi awam serta dasar perlindungan sedia ada tidak begitu mampu melindungi masyakaratnya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan. Justeru, pentingnya untuk mempunyai ‘pelampung keselamatan’ yang boleh disifatkan sebagai ‘back-up plan’ pada ketika kesukaran menghimpit.

Pertama, misalnya, ketiadaan simpanan atau tabung persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencukupi. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sebelum ini menyatakan seramai 6.1 juta pencarum berusia kurang daripada 55 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 ke bawah. Setakat Disember 2021, 2.6 juta pencarum pula hanya mempunyai simpanan RM1,000 ke bawah. Kadar simpanan yang rendah dan kritikal ini menunjukkan persediaan persaraan yang sedia ada masih tidak mampu menyediakan jaminan keselesaan ketika persaraan.

Antara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kadar simpanan adalah dengan menaikkan had gaji minima serta kadar upah. Peningkatan kadar upah atau gaji berupaya melebihkan kadar simpanan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahun 2018, untuk mencapai ‘minimum acceptable living standards’ adalah dengan memiliki gaji bulanan sekurangnya sebanyak RM2,700 bagi individu bujang, RM4,500 bagi pasangan dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua orang anak.

Kedua, pandemik turut memberikan kesan kepada generasi muda khususnya mahasiswa. Apabila institusi pengajian ditutup dalam tempoh yang agak lama generasi ini mengalami ketirisan bakat disebabkan ketiadaan pengalaman fizikal yang melibatkan kemahiran (soft-skills).

Forum Ekonomi Sedunia pada tahun 2021 menyatakan bahawa antara sebab utama yang mendorong individu memasuki universiti adalah didorong oleh faktor pengalaman dan interaksi langsung di alam universiti. Namun, Covid-19 telah membataskan hal tersebut. Kekurangan kebolehan sosial menyebabkan wujud kebimbangan untuk beradaptasi, khususnya di alam pekerjaan.

Ketiga, dari sudut penguncupan pasaran pekerjaan, yang mungkin disebabkan oleh keterbatasan pengalaman atau pencapaian yang disebabkan oleh kekangan pandemik. Justeru, ia mendorong kepada permasalahan yang terkait sebagai ‘unemployment’ (tidak bekerja) mahupun ‘underemployment’ (mempunyai pekerjaan yang tidak setanding dengan kebolehan atau kemahiran mereka).

Bagi meminimumkan permasalahan ini, sudah tiba masanya bidang-bidang pengajian di universiti disemak semula. Penelitian semula serta penambahbaikan terhadap kelompongan dalam bidang-bidang tertentu adalah bagi mengurangkan lambakan graduan.

Selain daripada kecerdasan intelek (IQ), emosi (EQ), sosial atau spiritual (SQ), kecerdasan atau kemampuan AQ (adversity quotient) juga adalah amat penting, kerana ia menjadi indikator bahawa pendidikan pada hari ini tidak wajar hanya menerapkan ilmu semata-mata, tetapi harus berupaya melatih generasi untuk berhadapan dengan cabaran dan perubahan.

Isu kos sara hidup yang semakin meningkat juga harus diberikan perhatian yang utama. Kesannya sering kali lebih menekan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar-bandar besar di sekitar Lembah Klang. Dalam pada itu, perlunya juga satu sistem perlindungan bagi melindungi para pekerja ekonomi gig, kerana sebahagian daripada mereka melakukan pekerjaan tambahan dalam ekonomi berasaskan gig sebagai alternatif lain untuk menjana pendapatan sampingan.

Golongan muda, belia hari ini berhadapan dengan cabaran dan ketidaktentuan yang meresahkan. Cabaran beradaptasi pada hari ini jauh lebih sukar, justeru perlunya ‘pelampung keselamatan’ yang wajar difasilitasi oleh decision-makers untuk manfaat decision-takers yang antaranya adalah golongan muda dan belia sebagai pelapis negara.

SOFIYA TAMIZI
Felo Perdana 2022, Kementerian Kerja Raya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN