BATU PAHAT: Sepasang kembar seiras bersyukur dan gembira kerana dapat menunaikan impian ibu dan bapa mereka selepas berjaya menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), semalam.
Lebih membanggakan, pasangan kembar yang juga anak sulung daripada empat beradik itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Katering) kelas pertama serta turut terpilih menerima Anugerah Naib Canselor.
Hilmi Nasri Rahmat, 24, berkata, sejak mula menjejakkan kaki di UTHM pada Februari 2018, dia dan kembarnya sudah menanam tekad untuk merealisasikan impian ibu dan bapa untuk membalas jasa orang tua yang gigih mengusahakan kedai makanan di Parit Yaani, dekat sini.
“Kami amat menyedari kepayahan mereka menjual sate yang lebih dikenali sebagai Sate Rahmad dan hanya dengan kejayaan cemerlang difikirkan mampu sebagai pengubat kesusahan mereka mencari rezeki.
“Malah ketika waktu lapang, kami turut sama membantu mereka berniaga dan dengan cara ini secara tidak langsung dapat menyelami kepayahan sebenar mereka,” katanya.
Selepas sama-sama berjaya menggenggam segulung ijazah bersama kembarnya, Hilmi Nazri, kini mereka ingin mencipta satu lagi sejarah keluarga, iaitu mendapatkan Ijazah Sarjana Pendidikan Teknikal (Reka Bentuk Instruksional dan Teknologi) yang mereka pernah gagal beberapa kali untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda sebelum ini.
Pelbagai ujian ditempuh pada awalnya tidak mematahkan semangat mereka untuk bergelar mahasiswa, sesuai dengan falsafah hidup bahawa setiap kejayaan tidak akan datang bergolek.
“Kami lega dapat tunaikan impian kedua ibu bapa yang ingin melihat kami berjaya dan menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya. – UTUSAN