Pas: Usul undi percaya beri 'gambaran' Anwar belum ada majoriti

Pas: Usul undi percaya beri ‘gambaran’ Anwar belum ada majoriti

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa usul undi percaya pada sidang Parlimen 19 Disember ini seolah-olah memberi ‘gambaran’ beliau masih belum mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Seri Paduka mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Jadi majoriti itu tidak semestinya majoriti mudah. Boleh jadi majoriti dalam kalangan yang lain-lain dan memang kita boleh terima sekarang ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) hanya 73 kerusi.

“Jadi Pengerusi PH mempunyai majoriti sekarang ini tetapi beliau belum boleh membentuk kerajaan kerana ia memerlukan minimum 112 kerusi,” katanya pada sidang akhbar semasa Majlis Jamuan Kesyukuran Parlimen Kota Bharu di Dataran Masjid Muhammadi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, sebagai alternatif Anwar perlu membawa usul undi percaya itu ke Parlimen untuk menguji sama ada beliau mempunyai majoriti mudah 112 kerusi atau lebih.

“Jadi Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang ini bukanlah sebuah kerajaan perpaduan sebaliknya sebuah kerajaan minoriti. Jadi kita perlu lihat dahulu usul tersebut,” jelasnya.

Pada 24 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Anwar menegaskan Kerajaan Perpaduan Nasional kini didukung oleh PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sehubungan itu, beliau menjelaskan sidang pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember nanti ditetapkan untuk dikemukakan usul undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×