Pahang tutup tapak perkhemahan serta-merta

Tragedi tanah runtuh: Pahang tutup tapak perkhemahan serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi termasuk lereng bukit serta air terjun di negeri ini berkuat kuasa serta merta.

Tindakan tersebut susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, semalam.

JPNP menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya memaklumkan, penutupan terbabit bermula pada 16 November sehingga satu tarikh yang dimaklumkan kemudian.

Dalam kenyataan itu, JPNP memaklumkan penutupan itu melibatkan semua tapak perkhemahan yang diuruskan oleh jabatan itu dan pihak operator swasta seperti di Taman Eko-Rimba Lubuk Yu, Maran dan Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands. 

JPNP turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi dalam kawasan berisiko tinggi sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Keputusan ini juga dibuat susulan ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang Monsun Timur Laut selain mengambil iktibar kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi semalam, 21 orang terkorban dalam kejadian di atas tapak perkhemahan diusahakan sebuah syarikat yang disahkan beroperasi tanpa lesen itu.

Kegagalan struktur kaki cerun dipercayai menjadi punca kejadian membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu membabitkan anggaran tanah runtuh sebanyak 500,000 tan dengan ketinggian 30 meter.

Difahamkan, daripada 94 mangsa, antara yang terkorban ialah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar.

Misi mencari dan menyelamat (SAR) baki 12 lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm disambung semula pada pukul 8 pagi ini selepas ditangguhkan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi ekoran hujan di lokasi kejadian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya