Nusa Fest: Pemuzik tiga negara, satu lokasi penyatuan

Nusa Fest: Pemuzik tiga negara, satu lokasi penyatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nusa Fest yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 Februari depan membawakan khalayak sebuah festival yang menggabungkan nama besar dalam industri muzik tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Festival di Bandar Malaysia itu bakal menyaksikan gabungan kumpulan terkenal seperti Gerhana Ska Cinta, Bunkface dan Jemson dari Malaysia serta Burgerkill (Indonesia) di atas satu pentas, khusus meraikan pencinta muzik.

Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, festival yang tergendala hampir tiga tahun disebabkan pandemik Covid-19 itu akan kembali lebih meriah dengan barisan nama besar dalam industri muzik tiga negara.

“Sudah lama rasanya, ‘angin nusantara’ tidak disatukan dalam nada dan irama yang sejalur. Titian persahabatan ini bakal dijalinkan dalam sebuah festival muzik yang dinamakan Nusa Fest.

“Festival ini bakal menyaksikan kemunculan kumpulan dan penyanyi solo hebat dari tiga negara. Peminat muzik pasti tidak melepaskan peluang menyaksikan gabungan ini dalam satu festival,” katanya.

Mengulas lanjut, Shirazdeen berkata, penganjuran festival tersebut melibatkan kos mencecah RM4 juta dan pemilihan artis juga dilakukan dengan penuh teliti.

“Bukan mudah hendak anjurkan festival ini dan kita pilih artis yang berupaya menarik kehadiran audiens.

“Setiap genre muzik mempunyai wakil, dari metal sehingga reggae. Saya yakin, penganjuran kali ini lebih bagus berbanding festival terdahulu,” katanya.

Menurut Shirazdeen, pengunjung akan dapat merasai pengalaman berbeza dengan konsep, produksi dan barisan artis yang ditampilkan.

“Setiap aspek kita ambil berat dan tidak dilakukan sambil lewa. Saya bagi jaminan penganjuran konsert ini adalah yang terbaik,” katanya.

Antara kumpulan yang turut menjayakan persembahan adalah Budak Nakal Hujung Simpang, Burgerkill, Diskoria, Forceparkbois, Jemson, Kunto Aji, Pusakata, Salammusik dan Kelompok Penerbang Roket.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya