Muhammad Dzulfikar derita sakit saraf - Utusan Malaysia

Muhammad Dzulfikar derita sakit saraf

CHE Kamaruddin Che Lah dan isteri, Nur Syahirah Abdullah memasang saluran oksigen bagi mengelak jantung Muhammad Dzulfikar Ryyan berhenti yang boleh membahayakan nyawanya ketika ditemui di Taman Ria, Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tidak seperti kanak-kanak seusianya yang aktif ke sana ke mari, kehidupan Muhammad Dzulfikar Ryyan Che Kamaruddin hanya bergantung kepada kerusi roda atau didukung untuk bergerak.

Walaupun dilahirkan normal, permata hati berusia sembilan tahun kepada Che Kamaruddin Che Lah, 37, dan Nur Syahirah Abdullah, 34, itu kini menderita penyakit saraf sejak lima tahun lalu.

Che Kamaruddin berkata, anaknya diserang penyakit saraf atau nama saintifiknya Spinal Muscular Atrophy (SMA) ketika berusia empat tahun yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda.

“Walaupun alami kesukaran kerana perlu diurus seharian termasuk mendukungnya di belakang ketika berulang-alik menaiki kenderaan ke Sekolah Kebangsaan (SK) St. Teressa, namun itu bukan halangan kami untuk mengurusnya.

“Kesediaan isteri saya berkorban masa dengan berulang-alik ke sekolah setiap hari untuk memastikan dia makan dan minum pada masa rehat turut tidak memberi bebanan kepada kami,” katanya ketika ditemui di Taman Ria, di sini.

Che Kamaruddin yang bekerja sebagai Pembantu Kemahiran di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Muda berkata, penyakit dihidapi anaknya itu menyebabkan ototnya mengecil dan lumpuh kerana kesan kerosakan sel yang kebarangkalian untuk sembuh amat tipis.

“Ramai pakar kata ubat-ubatan yang dibekalkan hanya mampu melambatkan pengecilan otot namun tiada jaminan sembuh. Jadi kehidupan anak kami tidak normal seperti kanak-kanak lain kerana perlu ulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan fisioterapi,” katanya.

Jelasnya, dia terpaksa berhabis RM500 untuk lampin pakai buang harian anaknya itu dengan bantuan daripada Kementerian Pendidikan yang meringankan beban mereka sekeluarga.

“Saya dan keluarga menumpang tinggal di rumah mentua kerana memudahkan berulang-alik bekerja, menghantarnya ke sekolah dan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan susulan.

“Mujur isteri tidak bekerja dan ini memudahkan anak kami mendapat pengawasan sepanjang masa kerana dia perlu menggunakan mesin khas untuk menyalurkan oksigen berikutan jantungnya kerap berhenti terutamanya ketika tidur,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun (bersama) Bank Simpanan Nasional 0219041100017280 atas nama Nur Syahirah Abdullah dan anaknya Muhammad Dzulfikar Ryyan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.