ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan kerana bertindak sebagai ‘master agent’ atau bookie perjudian berkaitan bola sepak Piala Dunia 2022 secara dalam talian di bandar raya ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, lelaki tersebut yang berusia 30 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Simpang Kuala dan Jalan Tokai di Batu 7, di sini.
Katanya, individu berkenaan disyaki menjalankan kegiatan perjudian catit taruh bookie bola sepak Piala Dunia 2022 secara dalam talian, melalui empat laman sesawang hingga mampu mencapai had kredit berjumlah RM370,000.
“Suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan ini kira-kira dua bulan dengan menyasarkan pelanggan terdiri daripada warga tempatan. Segala urusan pendaftaran dan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian mahupun tunai.
“Untuk tujuan promosi, suspek dipercayai menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan laman web. Pelanggan akan berhubung terus dengan suspek atau ejen bawahan bagi urusan mendapatkan kredit serta memperolehi wang kemenangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Serbuan tersebut dilakukan melalui Op Soga IX yang dilaksanakan kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Tambahnya, individu berkenaan dipercayai memperolehi antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari hasil daripada kegiatan tersebut.
“Pertaruhan diterima melalui panggilan telefon atau bersemuka dengan pelanggan. Dalam serbuan tersebut, beberapa barangan dirampas antaranya sebuah komputer riba dan satu telefon bimbit untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953. –UTUSAN










