Mangsa banjir bergejala di PPS perlu ujian Covid-19 - KKM 

Mangsa banjir bergejala di PPS perlu ujian Covid-19 – KKM 

PENDUDUK kampung melihat keadaan rumah yang terjejas akibat banjir di Kampung Cemperai Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) supaya memakai pelitup muka, manakala individu positif pula diwajibkan berbuat demikian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa banjir bergejala dan disyaki Covid-19 di PPS perlu menjalani ujian saringan dan diasingkan di tempat khas atau dirujuk ke hospital bagi yang memerlukan isolasi, pemantauan dan rawatan lanjut.

Beliau berkata, langkah ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.  

“KKM juga mengeluarkan garis panduan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di PPS sebagai panduan kepada semua agensi dan anggota yang terlibat dalam memberi tindak balas semasa bencana banjir. 

“Garis panduan ini memberi penekanan kepada aspek pencegahan Covid-19 di PPS yang perlu diamalkan dan diberi perhatian semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS. 

“Amalan mencuci tangan yang betul serta etika batuk dan bersin yang betul perlu diamalkan sepanjang masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, selain dari peranan agensi tindak balas, peranan mangsa-mangsa banjir atau orang ramai adalah sangat penting bagi sama-sama menghadapi bencana banjir dan Covid-19 ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko banjir supaya sentiasa bersedia dan berwaspada serta mematuhi arahan pihak berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal. 

“Orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir.

“Elak bermain dengan air banjir jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan meloidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar,” katanya.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan penjagaan kebersihan diri iaitu sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih selain elak memakan makanan yang terdedah kepada air banjir.

Jelasnya lagi, mangsa yang berlindung di PPS turut dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.  

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan dan garis panduan bagi pencegahan COVID-19 di PPS boleh dirujuk di laman sesawang https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan kkm/ANNEX_41_GARIS_PANDUAN_PUSAT_PEMINDAHAN_SEMENT ARA_MANGSA_BENCANA_BAGI_MENCEGAH_COVID- 19_20092022.pdf . – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya