Maklumat tular pemotongan bekalan elektrik kerana banjir buruk tidak benar - Utusan Malaysia

Maklumat tular pemotongan bekalan elektrik kerana banjir buruk tidak benar

TANGKAP layar mengenai maklumat yang tular di media sosial kononnya bekalan elektrik akan dipotong di seluruh Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Maklumat yang tular kononnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memotong bekalan elektrik di seluruh Terengganu kerana bencana banjir yang semakin buruk adalah tidak benar.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Mohamad Mohyddin Mohd Noor berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk menutup atau memotong bekalan elektrik di semua kawasan di negeri itu seperti yang tular hari ini.

“Setakat ini, TNB hanya memotong bekalan elektrik di kawasan yang terjejas teruk sahaja demi menjaga keselamatan penduduk di kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Hari ini, orang ramai meluahkan rasa bimbang setelah tular satu maklumat menerusi aplikasi WhatsApp kononnya bekalan elektrik di Terengganu akan ditutup besar-besaran ekoran bencana banjir semakin buruk dan lebih 500 pencawang elektrik di negeri itu telah ditenggelami banjir.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bekalan elektrik di beberapa kawasan yang terlibat banjir di Terengganu telah dipotong secara berperingkat dan sebahagiannya telah mula pulih seperti biasa.

Bagaimanapun, beberapa kawasan di lima daerah di Terengganu masih belum mendapat bekalan elektrik berikutan penutupan 95 pencawang elektrik di Kuala Berang, Besut (70), Kemaman (49), Bandar Al-Muktafi Billah Shah (15) dan Setiu (tujuh).

“Ketika ini, usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Sekiranya banjir bertambah buruk serta berisiko membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik terlibat bagi menjamin keselamatan pengguna setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mendekati pepasangan elektrik yang terendam air banjir pada musim tengkujuh.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya