Majoriti besar isyarat rakyat meluat - Sanusi - Utusan Malaysia

Majoriti besar isyarat rakyat meluat – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) ketika hadir ke majlis pengumuman keputusan PRU15 Parlimen Padang Serai di di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di Kulim. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Majoriti besar diraih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi isyarat jelas rakyat meluat dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan bersama Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kemenangan mereka di Parlimen Padang Serai amat penting walaupun tidak mengubah apa-apa keputusan di peringkat Persekutuan.

“Kemenangan ini sangat penting untuk memberi isyarat sama ada rakyat suka atau rakyat meluat. Kalau perbezaan majoriti 1,000 ke 2,000 undi itu (menandakan) rakyat tolak.

“Tapi kalau majoriti sampai berbelas-belas ribu itu rakyat meluat. Itulah signifikan keputusan Padang Serai kepada suasana politik hari ini,” katanya selepas pengumuman keputusan PRU15 Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.

Calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 selepas mendapat 51,637 undi mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit daripada PN mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 33,192 selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mengalahkan Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena dengan majoriti 31,751.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, keputusan PH dan BN bekerjasama termasuk yang dilakukan di Padang Serai tetap tidak mampu menghalang kehendak dan kemahuan rakyat walaupun digabungkan jumlah undi antara kedua-duanya.

Ketika ditanya faktor kejayaan PN di negeri itu, beliau berkata, politik harmoni adalah resepi utama yang memberi keselesaan kepada semua pihak dan tidak berlakon menjadi orang lain.

“Kita buat kerja sungguh-sungguh. Kita tak buang masa main politik, kita pun tak ambil tindakan balas dendam kat orang, kita tak cari salah orang dan kita teruskan projek-projek yang baik. Kita (juga) ada hubungan yang baik dengan pegawai-pegawai, agensi-agensi dan jabatan.

“Walaupun peratusan keluar mengundi hanya 68.9 peratus (di Padang Serai) tapi kita berjaya catat majoriti 16,260 walaupun kita bertanding enam penjuru. Saya rasa kalau dibuat pada hari cuti, pengundi yang akan keluar lebih ramai dan majoriti akan lebih banyak,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak mustahil mampu menyapu bersih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dibubarkan selepas melihat momentum ketika ini.

“Kalau dijalankan pilihan raya Parlimen ini sekali dengan DUN, saya yakin kita akan menang 36-0 (kerusi DUN). Jadi ia akan menjadi satu pertimbangan sama ada pilihan raya DUN akan cepat atau lambat. Parlimen ini menjadi kayu ukur,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan hanya akan membubarkan DUN selepas Mac tahun depan seperti yang telah diputuskan bersama Kelantan dan Terengganu, sebelum ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.