Mahkamah putuskan 2 permohonan Siti Bainun Jumaat

Mahkamah putuskan 2 permohonan Siti Bainun Jumaat ini

Siti Bainun Ahd Razali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua permohonan yang difailkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat ini.

Hakim Izralizam Sanusi menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan mahkamah meneliti kedua-dua permohonan yang dikemukakan termasuk hujahan balasan daripada pihak pendakwaan.

Dua permohonan yang difailkan  adalah mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi pembelaan yang ditawarkan pendakwaan dan permohonan untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan sebelum ini.

Pada hari sama, mahkamah akan menetapkan tarikh-tarikh baharu perbicaraan kes itu di peringkat bela diri yang sepatutnya bermula Isnin lalu.

Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini telah dilapangkan oleh mahkamah kerana Siti Bainun perlu menjalani rawatan kesihatan seperti yang dikemukakan pihak pembelaannya.

Terdahulu, peguam bela, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan, anak guamnya telah dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum tertuduh boleh menjalani pembedahan hempedu.

Peguam itu berkata jangkitan itu dikesan selepas tertuduh menjalani prosedur endoskopi serta ujian darah di hospital semalam.

“Siti Bainun telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi dan telah diberikan surat cuti sakit (MC). Laporan terkini kesihatan dan MC Siti Bainun akan dikemukakan kepada mahkamah. Laporan penuh akan diberi selepas 14 hari kerana hospital memerlukan masa. 

“Anak guam juga perlu kembali ke hospital pada 15 Disember untuk rawatan susulan manakala 20 Disember pula, Siti Bainun akan mengetahui sama ada dia boleh menjalani pembedahan hempedu atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata, berhubung isu dua permohonan yang dikemukakan, pendakwaan sudah memfailkan bantahan berhubung kedua-dua permohonan tersebut.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun telah diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Kes itu mula dibicarakan pada 30 Mac lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya