LZNK tukar 12 usahawan daripada asnaf kepada pembayar zakat - Utusan Malaysia

LZNK tukar 12 usahawan daripada asnaf kepada pembayar zakat

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (dua kanan) menerima zakat perniagaan daripada MADA untuk diserahkan kepada LZNK pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat dan Wakalah Agihan Zakat di Menara Zakat, Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Skim Jaya Diri kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berjaya menukar 15 peratus daripada 78 usahawan dalam kalangan asnaf kepada pembayar zakat tahun ini.

Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pihak berkenaan mengagihkan sebanyak RM1.6 Juta melalui skim tersebut untuk asnaf menghasilkan pelbagai jenis produk seperti pembuatan pisau, pertukangan kayu, perniagaan kek dan pastri, perniagaan gerai makanan dan minuman. 

“Ianya merangkumi pembangunan asnaf yang mempunyai potensi dan kemahiran dalam perniagaan serta keusahawanan untuk mengeluarkan diri mereka daripada kepompong kemiskinan. 

“Daripada jumlah itu, seramai 12 asnaf  berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dalam tempoh satu hingga tiga tahun dan bertukar status daripada penerima zakat kepada pembayar zakat hasil salah satu daripada 65 skim yang diwujudkan di LZNK,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat dan Wakalah Agihan Zakat, di Menara Zakat di sini hari ini

Serahan zakat tersebut disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang turut diiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

LZNK menerima RM4.59 juta zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat termasuk Maybank Islamic Berhad, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tengku Sarafudin Badlishah turut berkenan menyempurnakan penyerahan wakalah agihan zakat berupa 22 mesin hemodialisis berjumlah RM880,000 daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad,  Maybank Islamic dan Pharma Idaman.

Berucap lanjut, kata Norizan, jumlah keseluruhan agihan zakat sehingga 22 Disember mencecah RM202 juta iaitu sebanyak 95 peratus daripada jumlah kutipan RM214 juta.

“LZNK mensasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM256 juta, dengan anggaran peningkatan sebanyak 5.79 peratus ataupun RM14 juta berbanding kutipan 2021 sebanyak RM242 juta,” katanya.

Tambahnya, wakalah agihan zakat turut diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah melibatkan 719 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri yang berjumlah RM10.79 juta.

“Kurniaan agihan zakat kepada asnaf yang melibatkan lapan skim agihan terbesar LZNK iaitu agihan zakat bulanan fakir dan miskin, agihan bina dan baik pulih rumah, agihan pendidikan, agihan kebajikan mualaf, agihan pakaian seragam sekolah dan agihan rawatan dialisis dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM112.3 juta,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya