Lima lagi gelombang banjir lebih serius, perlu siap siaga

Lima lagi gelombang banjir lebih serius, perlu siap siaga

ARMIZAN Mohd. Ali (dua dari kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Seri Semantan Mentakab di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Malaysia dijangka berdepan lima lagi gelombang banjir dalam Monsun Timur Laut (MTL) yang memerlukan persediaan rapi semua pihak termasuk agensi berkaitan dan masyarakat setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berdasarkan cuaca yang ekstrem ketika ini, keadaan banjir dijangka lebih serius tertakluk kepada faktor luar kawalan.

“Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), MTL pada tahun ini yang bermula awal November dan dijangka hingga Mac ini, kita akan mengalami empat hingga enam luruan monsun.

“Kita baru melepasi luruan pertama, dijangka berbaki lima lagi insiden bakal berlaku, jadi kita perlu sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan pengurusan ini (banjir) akan berjalan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semantan, di sini hari ini.

Armizan berkata, fenomena hujan lebat, angin kencang dan juga laut bergelora merupakan aspek luar kawalan yang perlu diberikan perhatian serius khususnya dalam kesiapsiagaan.

Beliau berkata, selain memastikan kesiapsiagaan semua pihak terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mempunyai penyelarasan dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, masyarakat juga perlu sentiasa bersedia dan mempunyai kesedaran untuk mematuhi arahan yang diberikan termasuklah berpindah sekiranya kawasan mereka dinaiki air.

Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan laporan dan tinjauan lapangan setakat ini mendapati pengurusan banjir berada dalam keadaan yang amat baik dan berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, setakat ini banjir melibatkan lima negeri dengan 14 daerah yang terjejas menyaksikan 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwujudkan.

“Sejak bermulanya MTL pada awal November semua negeri terkesan iaitu Perak, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat menguruskan keadaan dengan baik.

“Saya berharap momentum ini dapat diteruskan memandangkan negara baru sahaja melalui luruan monsun yang pertama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya