Lelaki lari pengawasan polis ditemukan mati dipercayai langgar lari - Utusan Malaysia

Lelaki lari pengawasan polis ditemukan mati dipercayai langgar lari

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di lokasi seorang lelaki maut dipercayai mangsa langgar lari di hadapan sebuah rumah di Taman Klebang Putra, Chemor di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang menjadi buruan kerana melarikan diri daripada pengawasan polis ditemukan maut dipercayai akibat langgar lari di hadapan sebuah rumah di Taman Klebang Putra, Chemor di sini semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlantar oleh adik iparnya yang kemudian melaporkan pada polis sekitar pukul 11.28 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, lelaki itu tinggal di rumah teres satu tingkat bersama isteri dan adik iparnya yang baharu seminggu menumpang di rumah berkenaan.

Katanya, berdasarkan temubual dengan adik ipar mangsa, lelaki itu mendakwa terdengar ketukan di pintu rumah yang memberitahu mangsa telah dilanggar.

“Lelaki itu segera membuka pintu rumah dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran melarikan diri dari tempat kejadian.

“Pada masa sama, mangsa dilihat dalam keadaan terlantar di hadapan rumah dan tercungap-cungap. Mangsa bagaimanapun tidak mengatakan apa-apa kepada adik iparnya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan di tempat kejadian dijalankan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dibantu pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan pasukan siasatan forensik perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga kanan, tangan kiri, kaki kiri, kaki kanan dan badan.

“Ada kemungkinan lelaki itu merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut diperlukan untuk menentukan punca kematian. Bedah siasat akan dijalankan di HRPB, hari ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut. Klasifikasi kes akan dibuat setelah punca kematian diperolehi daripada hasil bedah siasat nanti,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan semakan, mangsa didapati individu yang melarikan diri daripada pengawasan polis dari Parit Buntar dan satu laporan polis telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.