SEGAMAT: Datuk saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia disyaki didera tidak dapat membayangkan jeritan, tangisan dan kesakitan yang ditanggung oleh mangsa.
Ruslan Ahmad, 47, menyifatkan perbuatan pelaku tersebut lebih kejam daripada binatang dan tidak boleh diterima.
“Saya terkejut sebaik sahaja menerima berita itu kerana tidak menyangka ada manusia yang lebih kejam daripada haiwan memukul budak tidak berdosa. Saya amat sedih, tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Labis, semalam.
Kontraktor bebas itu yang tidak dapat menahan sebak apabila teringat keletahan cucu saudaranya berkata, dia dan isterinya, Rahimah Rahman, 45, pernah beberapa kali menjaga mangsa sejak dilahirkan pada 31 Disember 2018.
“Saya dan keluarga amat menyayanginya sebelum dia dibawa tinggal di Batu Pahat. Kali terakhir bertemu dengan cucu saudara saya itu pada 29 Oktober lalu.
“Kalau ikutkan, Jumaat lalu, sebaik sahaja dimaklumkan dia dimasukkan ke hospital, saya dan isteri ingin ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bertemu dengannya, tetapi keadaannya yang tidak sedarkan diri serta sedang menerima rawatan intensif membuatkan saya membatalkan niat tersebut,” katanya yang terkilan tidak dapat menatap wajah mangsa buat kali terakhir.
Menurut Ruslan, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom, semalam.
Dalam pada itu polis telah menahan lima individu, dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka direman hingga 31 Disember ini.
Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan dadah, namun kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga.
Polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa, antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.
Sementara itu, ibu mangsa yang berusia 39 tahun dan masih dalam tahanan di Penjara Simpang Renggam, Kluang diberi peluang kira-kira lima minit untuk menatap anaknya selepas jenazah dikafankan di Jabatan Forensik HSI, semalam.
Wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu turut dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara.
Difahamkan, ibu kepada 11 orang anak itu hanya diberitahu tentang kejadian menimpa anaknya sebaik sahaja dia tiba di bilik mayat. – UTUSAN










