Lapan daripada 12 mangsa belum ditemui dipercayai dari Melaka

Lapan daripada 12 mangsa belum ditemui dipercayai dari Melaka

GAMBAR Yu Siew Pay ketika bercuti di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai lapan orang terdiri daripada dua keluarga dari Kampung Machap Baru, Alor Gajah dekat sini dipercayai antara 12 mangsa belum ditemui dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor.

Adik kepada salah seorang mangsa, Tai Yi Wei, 27, memaklumkan, abangnya, Tai Chang Lin, 35, dan kakak ipar, Yu Siew Pay, 34, tidak dapat dihubungi sejak bercuti ke kawasan perkhemahan itu pada Rabu lalu.

Katanya, abang dan kakak iparnya membawa bersama dua anak berusia empat serta tujuh tahun, manakala empat yang lain adalah keluarga rakan baik abangnya.

“Sebelum ini kawan abang ada menghubungi keluarganya, beritahu mereka telah selamat sampai di tapak perkhemahan itu.

“Selepas insiden itu berlaku, saya cuba menghubungi mereka berulang kali, ada deringan, tetapi tidak dijawab.

“Saya cuma mengharapkan satu panggilan sahaja daripada mereka, jawab mereka selamat daripada kejadian tanah runtuh itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Setakat pukul 12.15 tengah hari tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) belum menemukan baki 12 mangsa tragedi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya menyambung semula operasi pukul 8.30 pagi tadi setelah ditangguhkan pada pukul 9 malam semalam ekoran hujan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem mengesahkan, terdapat lapan mangsa yang terlibat dengan runtuhan berkenaan adalah dari Kampung Machap Baru.

“Saya amat sedih apabila mendapat tahu seramai 12 mangsa masih belum ditemui dan ada antara mangsa dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya. Ada seramai empat dewasa dan empat kanak-kanak mangsa dari Kampung Machap Baru.

“Kita berdoalah supaya mangsa yang tidak ditemui masih hidup. Salam takziah kepada keluarga yang kehilangan orang yang dicintai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN