Kumpul lebih RM7 juta dalam masa 6 hari - Utusan Malaysia

Kumpul lebih RM7 juta dalam masa 6 hari

SEBANYAK 80 peratus daripada RM9 juta atau kira-kira RM7.23 juta berjaya dikumpul dalam masa enam hari untuk mendapatkan dana bagi merawat penyakit genetik yang dihidapi oleh kanak-kanak berusia 17 bulan, Reese Tan Rui Xin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Meskipun kempen untuk mengumpul dana perubatan sebanyak RM9 juta bagi membantu seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan, Reese Tan Rui Xin yang menghidap sejenis penyakit genetik baru sahaja dilancarkan, namun maklum balas yang diterima daripada orang ramai di luar jangkaan.

Ini kerana, sebanyak 80 peratus atau kira-kira RM7.23 juta daripada keseluruhan jumlah dana yang diperlukan berjaya dikumpul dalam masa kurang seminggu hasil bantuan pertubuhan kebajikan, One Hope Charity & Welfare.

Pengerusi pertubuhan itu, Datuk Chua Sui Hau berkata, kanak-kanak terbabit yang menderita penyakit atrofi spina otot (SMA) bagaimanapun masih memerlukan RM1.8 juta lagi untuk mencukupkan kos perubatan berkenaan.

Sui Hau berkata, selepas kempen mengumpul dana itu dilancarkan pada 13 Disember lalu, pejabat dan laman sosial One Hope Charity dihujani pelbagai pertanyaan khususnya berkaitan kewajaran mendapatkan dana sebanyak RM9 juta untuk membeli ubat khas bagi mengubati penyakit Reese Tan.

Bagaimanapun katanya, segala persoalan itu telah dijelaskan dengan fakta dan individu yang membuat pertanyaan juga telah membuat pendermaan selepas yakin dengan penjelasan yang diberikan.

“Secara keseluruhannya juga, sebanyak 25,000 individu telah memberikan sumbangan kepada Reese Tan dalam masa enam hari dan ketika ini, sebanyak RM1.8 juta lagi masih diperlukan untuk mencapai matlamat asal (mengumpul dana) iaitu sebanyak RM9 juta.

“Justeru, saya menyeru lebih ramai pihak untuk tampil menyampaikan sumbangan demi membantu menyelamatkan nyawa kanak-kanak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketika ini, hanya ubat Zolgensma yang telah diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan di Amerika Syarikat (FDA) boleh digunakan untuk merawat penyakit genetik itu.

Namun, kos rawatannya yang terlalu tinggi iaitu mencecah RM9 juta untuk mendapatkan satu dos suntikan sahaja membuatkan ramai pihak terkejut terutama ketika kempen mengumpul dana itu dilancarkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Sui Hau berterima kasih kepada mereka yang membantu menjayakan kempen berkenaan sama ada yang menyumbang secara individu, badan korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam atau luar negara.

Katanya, penghargaan yang sama juga diluahkan ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut, Rachel Chung, 38, dan
Jason Tan, 47, yang turut berharap orang ramai mendoakan anak mereka dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain selepas mendapatkan rawatan berkenaan.

“Orang ramai yang ingin menderma masih boleh berbuat demikian melalui laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui aplikasi One Hope Charity selain melalui akaun Public Bank pertubuhan itu di nombor 3201428817.

“Setiap derma yang berjumlah RM50 ke atas boleh memohon untuk mendapatkan resit derma bagi tujuan pengecualian cukai pendapatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.