PETALING JAYA: Seramai 5189 pelajar dengan 4,302 daripadanya terdiri daripada graduan ijazah sarjana muda dan 887 melibatkan doktor falsafah (PhD) dan pelajar sarjana terlibat dalam majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula esok.
Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mencemar duli untuk berangkat ke Majlis Konvokesyen UIAM ke-38 Sidang 1 yang diadakan Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM (ICC), UIAM Kampus Gombak.
Menurut kenyataan UIAM, Baginda berkenan untuk menyampaikan anugerah-anugerah utama universiti kepada para graduan yang berjaya sepanjang pengajian mereka.
Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pelajar Terbaik serta Anugerah Ummi Maktum untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya dalam pengajian adalah antara anugerah yang akan disampaikan dalam majlis konvokesyen itu.
“Baginda juga berkenan untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Komunikasi Strategik dan Hubungan Antarabangsa kepada Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME), Datuk Sri Syed Hussien Abd Kadir Al Hashee.
“Selain itu, Anugerah Merit Ibn Khaldun Bagi Transformasi Sosial Peringkat Global kepada Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization(ICESCO), juga turut akan disampaikan atas perkenan baginda,” katanya dalam satu kenyataan. –UTUSAN