Konsert palsu: Ibu tunggal didakwa cuba tipu rakan Awie

Konsert palsu: Ibu tunggal didakwa cuba tipu rakan Awie

AWIE dan NORHAYATI MASLINDA CHEW ASMAWIE CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu rakan penyanyi rock Datuk Awie berhubung penganjuran konsert palsu, Oktober lalu.

Bagaimanapun tertuduh Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang juga seorang penganggur didakwa cuba memperdaya penganjur acara, Murbarak Akhtar Mohd. Aris, 52, dengan mendorong mangsa membeli tiket ‘Konsert Unplugged Living Legend’.

Perbuatan tertuduh didakwa menyebabkan mangsa menyerahkan wang untuk dimasukkan ke dalam akaun banknya walhal konsert itu tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Bukit Mulia Mulia, Bukit Antarabangsa di sini pukul 10.30 malam, 24 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Hukuman bagi Seksyen 417 memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 511 memperuntukkan penjara tidak melebihi separuh daripada hukuman maksimum bagi kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya seorang ibu tunggal yang menyara empat orang anak.

“Suami tertuduh telah meninggal dunia awal tahun lalu selain tertuduh turut mempunyai penyakit slip disc (sakit tulang belakang),” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan kes.

Sementara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, beliau menyeru mana-mana individu yang pernah berurusan dengan wanita itu supaya tampil membuat laporan polis.

“Kepada mereka yang telah tertipu dengan konsert ini, kalau boleh hadir buat laporan kerugian-kerugian yang telah dialami. Saya tidak mahu berlaku lagi selepas ini perkara-perkara penipuan konsert,” kata Awie yang juga pengadu dalam kes tersebut.

Media sebelum ini mendedahkan penipuan seorang wanita mempergunakan nama dan gambarnya bersama beberapa artis dengan menjual tiket konsert yang tidak wujud.

Cubaan mengaut keuntungan bagi persembahan yang kononnya akan diadakan di Sabah bertarikh 4 Februari 2023 itu dapat dipatahkan sebaik polis menahan individu tersebut.

Wanita yang tinggal di Klang, Selangor itu mengaku bahawa konsert `Unplugged Living Legend’ (Datuk Awie dan Ahmad Dhani) akan diadakan bersama artis undangan Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.

Menurut penyanyi lagu Diambang Wati itu maklumat dalam poster konsert palsu menyatakan harga tiket dijual antara RM199 sehingga RM649. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya