KKM tutup, kompaun kedai makan tular tikus jamah ayam goreng

KKM tutup, kompaun kedai makan tular tikus jamah ayam goreng

TANGKAP layar video tular seekor tikus sedang menjamah ayam goreng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah kedai makan yang videonya tular di media sosial berikutan terdapat seekor tikus sedang menjamah ayam goreng diarah tutup serta-merta selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalankan siasatan berhubung video berkenaan dan mengenal pasti lokasi premis terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Pasukan penguat kuasa kesihatan BKKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan. Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

Beliau menegaskan, KKM memandang serius isu kebersihan serta keselamatan makanan dan menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.

Langkah ini, katanya, bagi mengelak keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

Noor Hisham turut menyarankan pengguna untuk memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah.

Tambah beliau, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Kelmarin, tular sebuah video berdurasi 17 saat yang memaparkan seekor tikus sedang menikmati hidangan ayam goreng di sebuah kedai makan menerusi akaun Twitter milik ‘Zoeyhanafiah’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.