Ketua Pegawai Eksekutif CAAM letak jawatan

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM letak jawatan

CHESTER VOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chester Voon meletakkan jawatan pada 31 Disember ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abdul Rahman berkata, Chester mengemukakan surat peletakan jawatannya dan diterima oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini.

Beliau berkata, Chester meluahkan hasrat untuk meletak jawatan pada Oktober lalu, namun selepas pertimbangan dibuat, ia ditangguhkan sehingga 31 Disember ini.

“Penangguhan ini bagi membolehkan CAAM melaksanakan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan.

“Perkara ini dipersetujui oleh Chester dan CAAM menyediakan pelan strategik 2023 lengkap bagi memastikan proses kesinambungan positif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, sejak pelantikan Chester sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Jun 2020, beliau memberi komitmen tinggi dalam kepimpinan yang berkesan kepada pengurusan CAAM.

Mohd Khairul Adib berkata, CAAM mencapai pelbagai kejayaan di bawah pimpinan Chester sehingga badan itu dikenali sebagai badan kawal selia keselamatan dan sekuriti industri penerbangan serta penyedia perkhidmatan navigasi udara yang mampan seperti hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun setengah lalu, CAAM berada pada landasan betul untuk melaksanakan peranan utamanya dalam mengawasi dan mempromosikan aspek keselamatan industri penerbangan negara.

“Chester juga membantu mengembalikan semula status Kategori 1 bagi Penarafan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Federal Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat.

“CAAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Chester atas dedikasi, kesungguhan, kerja keras dan sumbangan besar sepanjang perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya