PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat bahawa ketiadaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bukanlah pengakhiran bagi parti itu dalam arena politik.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pejuang tidak menggambarkan parti itu akan terkubur.
“Kemungkinan ada muslihat kerana Mukhriz masih kekal sebagai orang kuat Pejuang dan Tun Mahathir masih kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), jadi saya tak nampak hubungannya terputus seratus peratus dengan Pejuang.
“Bagi saya, akan ada sesuatu yang bakal berlaku dalam masa terdekat mengenai arah tuju Pejuang dan GTA dan kemungkinan ada beberapa strategi untuk menguatkan GTA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Tambah beliau, kekalahan teruk Pejuang semasa PRU15 menunjukkan Pejuang yang juga tonggak utama GTA tidak mampu menarik perhatian orang-orang Melayu.
Menurutnya, UMNO sekalipun tidak mampu menampung kehendak orang Melayu kerana mereka lebih selesa dengan Pas, Bersatu ataupun Perikatan Nasional.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali pula menyifatkan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai perkara yang serius dan tidak ada ruang lagi untuk Pejuang dalam arena politik negara.
Katanya, kekuatan Pejuang berdasarkan kehadiran Tun Mahathir dalam parti itu kerana penubuhannya adalah beraspirasikan kepemimpinan Tun sendiri.
“Tetapi selepas PRU15 parti itu dilihat hilang keyakinan apabila tewas di semua kerusi, malah 120 kerusi yang ditandingi hilang wang pertaruhan.
“Kita tidak nampak Pejuang ini boleh meningkatkan sokongan rakyat kerana orang Melayu banyak menyokong Bersatu, manakala orang bukan Melayu pula lebih kepada Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.
Disebabkan itulah jelas beliau, tidak ada masa hadapan lagi bagi Pejuang, ditambah lagi ketiadaan Tun maka, tiada sebab untuk perjuangan Pejuang dibawa ke masa hadapan.
Dalam pada itu, penganalisis politik merangkap Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berpendapat, terlalu awal untuk mengatakan Pejuang tidak relevan lagi.
“Naratif yang dibawa oleh Pejuang dilihat masih relevan kerana refleksi daripada PRU15 itu memperlihatkan bagaimana kecenderungan pengundi ataupun kelompok Melayu yang nampaknya begitu mengena dengan idea dan falsafah Pejuang.
“Mungkin masalahnya adalah cara dan konteks Pejuang memposisikan hala tuju dan ideologi perjuangan mereka itu tidak berapa mengena,” katanya.
Terdahulu, Tun Dr. Mahathir disahkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang, bagaimanapun beliau kekal sebagai Pengerusi GTA. – UTUSAN










