Ketatkan syarat pentauliahan mengajar agama, dakwah - Utusan Malaysia

Ketatkan syarat pentauliahan mengajar agama, dakwah

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pihak berkuasa agama di peringkat Pusat dan negeri perlu memperketat syarat-syarat pentauliahan mengajar agama dan dakwah bagi membersihkan medan dakwah daripada elemen-elemen negatif.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihak berkuasa agama juga perlu memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka yang sudah mendapat tauliah untuk berdakwah.

”Memang mendukacitakan apabila didapati medan dakwah di negara pada masa ini dimasuki oleh pelbagai jenis dan ragam manusia, malah sesetengah mereka tiada kelayakan daripada sudut ilmu dan uslub berdakwah.

“Untuk membersihkan medan dakwah daripada elemen-elemen negatif ini, maka pihak berkuasa agama baik di peringkat Persekutuan dan negeri perlu memperketat syarat-syarat pentauliahan mengajar agama dan dakwah di samping memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka yang sudah ditauliahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya, didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan di media sosial membabitkan hukum agama.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini telah menasihatkan pasangan tersebut menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.

Menurut Wan Salim, mana-mana individu yang didapati menyampaikan kuliah atau ajaran yang mengelirukan yang menghasut masyarakat kepada perpecahan atau mendorong kepada kebencian dan sebagainya, wajar dihalang daripada berceramah atau mengajar kepada khalayak melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

”Sudah sampai masanya pihak kerajaan bertegas dalam aspek ini demi membersihkan medan dakwah Islamiah daripada ‘sampah sarap’ yang mencemarinya.

”Ini juga bertujuan memelihara imej agama Islam sebagai pembawa misi rahmat untuk semesta alam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya